KEBANGKITAN cemerlang dalam tempoh tiga bulan terakhir 2025 membuatkan perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching menghela nafas lega apabila mengakui gembira dengan hala tuju prestasinya sambil mula merangka pelan lebih besar menuju musim 2026.
Pemain berusia 22 tahun itu menganggap kepupangannya semula ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta bimbingan dua jurulatih hebat, Kenneth Jonassen dan Iskandar Zulkarnain sebagai titik perubahan penting apabila berkata, “saya rasa gembira dengan prestasi dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini kerana apa yang diusahakan dalam latihan akhirnya berbaloi.”
Sepanjang 2025, Ling Ching mencuri tumpuan apabila menjuarai Terbuka Slovenia, mara ke final Super 100 Malaysia, separuh akhir Sukan SEA serta beberapa kali menembusi suku akhir kejohanan Siri Jelajah Dunia.

Wong Ling Ching perlu berusaha lebih keras untuk bersaing dalan kelompok Top 32 tahun hadapan.
Lebih manis, dia mencetus kejutan besar apabila menewaskan pemain ranking ke-10 dunia dari Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung serta pemain ranking ke-14 dunia, Michelle Lee dari Kanada.
Mengulas sasaran baharu, Ling Ching berkata, “untuk enam bulan pertama 2026, saya dan Coach Iskandar sasarkan ranking Top 32 supaya lebih mudah masuk kejohanan Super 750 atau Super 1000 tanpa kelayakan.”
Namun, pemain yang kini menghuni tangga ke-44 dunia, kekal berpijak di bumi nyata apabila mengakui jurang masih wujud dengan kelompok elit dunia.
“Saya masih ada kekurangan dan kena bekerja lebih keras sebab tahun depan mereka akan mula kaji corak permainan saya.”
Ling Ching percaya aspek mental, kematangan membuat keputusan serta kecergasan di gelanggang perlu diperkasakan bagi memastikan dia mampu bersaing lebih konsisten di pentas tertinggi.
Mengulas tekanan peminat, dia tenang menjelaskan, “sokongan itu motivasi, bukan tekanan, kerana saya cuma fokus kepada prestasi dan harap dapat kekalkan kondisi fizikal serta bebas kecederaan pada 2026.”