PERSEORANGAN lelaki negara, Lee Zii Jia menegaskan belum bersedia menyertai skuad kebangsaan ke Piala Thomas selagi tahap kecergasan dan permainannya belum kembali ke paras terbaik, sekali gus menolak idea turun untuk sekadar mencukupkan pasukan.
Menurut Zii Jia, keinginannya untuk menyarung jersi Malaysia hanya hadir selepas dia mencapai sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus tahap sebenar agar mampu memberi impak bermakna kepada pasukan.
Pemain berusia 28 tahun itu turut menepis anggapan bahawa kehadirannya sebagai perseorangan ketiga menjadi satu kelebihan besar, sebaliknya mahu turun dengan keyakinan penuh dan kualiti permainan yang diyakininya sendiri.
“Saya sentiasa bersedia jika diperlukan, tetapi jangkaan saya mungkin berbeza kerana saya perlu kembali sekurang-kurangnya ke tahap 70 hingga 80 peratus cergas untuk benar-benar yakin mewakili pasukan,” katanya.

Lee Zii Jia mengakui kurang pantas dan tondakan refleksnya juga agak perlahan di Terbuka Malaysia.
Zii Jia menegaskan dia tidak menolak sebarang peranan, namun enggan beraksi dalam keadaan fizikal yang belum pulih sepenuhnya dan sekadar bermain tanpa kualiti sebenar.
Ketika ini, Zii Jia berada di ranking ke-144 dunia di belakang Leong Jun Hao dan Justin Hoh selepas rankingnya merosot akibat berehat panjang kerana kecederaan buku lali dan belakang musim lalu.
Bagaimanapun, bekas juara Seluruh England itu masih memiliki perlindungan ranking kelapan dunia yang membolehkannya beraksi di kejohanan utama Jelajah Dunia meskipun prestasi sebenar belum kembali.
Semalam, Zii Jia tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Ayush Shetty sambil mengakui prestasinya baru sekitar 50 hingga 60 peratus dan memerlukan beberapa kejohanan awal musim untuk mencari semula momentum.