SUSULAN daripada peletakkan jawatan E Elavarasan sebagai pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) baru-baru ini, terdapat beberapa cadangan nama yang telah dibuat untuk menggantikan tempat beliau antaranya adalah Juan Torres Garido selaku penolongnya.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim tidak ketinggalan untuk memberi pendapat tentang cadangan menaikkan Juan Torres sebagai ketua jurulatih baru skuad B-23.
Menurut beliau, ia merupakan satu perkara yang dapat memudahkan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sendiri apabila menjadikan Juan Torres sebagai pengganti Elavarasan.
Demikian juga kerana Juan telah memahami keadaan serta prestasi pemain-pemain yang sedia ada serta sekali gus dapat menyuntik semangat Elavarasan juga dalam sistem kemenjadian bola sepak B-23 tersebut.
“Ia tidak akan memberi kesan negatif dan kenaikkan Juan juga dapat membendung daripada berlakunya lebih banyak masalah dalam pasukan untuk masa terdekat ini.
“Beliau pasti ada cara tersendiri sebagai seorang jurulatih dan yang paling penting adalah kerana beliau sudah tidak asing lagi dengan pasukan B-23,” ujarnya kepada FLASH SUKAN pada Rabu.
Sementara itu, Datuk Dr Pekan Ramli selaku pemerhati bola sepak juga menganggap cadangan menaikkan Juan Torres itu sebagai satu percaturan yang baik buat skuad B-23.
“Saya nampak dari sudut yang penolong Elavaran ini dapat menerapkan falsafah bola sepak seperti mana bekas ketuanya itu terapkan kepada skuad B-23.
“Dalam masa beberapa bulan ini juga skuad B-23 memerlukan ketua jurulatih yang dapat membantu untuk mencapai kejayaan khususnya dalam final Piala Asia 2023 ini,” katanya.
Jelas beliau, tempoh yang suntuk ini bukan lagi untuk melakukan sebarang eksperimen dan Juan Torres yang sudah berpengalaman menjaga skuad B-23 itu layak untuk menggantikan tempat Elavarasan.
ARTIKEL BERKAITAN : Kerusi Panas Skuad B-23 : Juan Torres Garrido layak ganti Elavarasan
Terdahulu, Elavarasan memutuskan meletakkan jawatan selepas melakukan perbincangan dari hati ke hati bersama Presiden FAM susulan beberapa keputusan tidak memberangsangkan sepanjang tahun ini, meskipun layak ke Piala Asia B-23 di Qatar pada April tahun depan.
Di Piala Asia B-23 nanti, bukan saja ditawarkan trofi kejuaraan malah tiga pasukan terbaik bakal meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris sekali gus peluang buat Malaysia cuba mencipta sejarah layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Untuk rekod, pasukan bola sepak negara pernah mencipta sensasi di peringkat dunia apabila layak dua kali ke Sukan Olimpik iaitu pada 1972 di Jerman dan saingan 1980 di Moscow sebelum menarik diri ekoran pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.