“WALAU di mana tempat kamu rebah, di situlah kamu harus bangkit!”

Demikian kata-kata yang sering menjadi pesanan ketua kontinjen (CDM) Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt kepada para atlet, terutamanya atlet wushu.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Wushu Malaysia berkata, sebagai seorang manusia, “Kehidupan yang kita tempuhi terlalu banyak kekalahan berbanding kemenangan, terlalu banyak masalah, namun paling utama jangan takut dan lari, kita (atlet) perlu atasinya.”

Aksi Tan Cheong Min ketika memenangi pingat perak acara nanquan+nandao semalam.

Beliau yang diminta mengulas mengenai luahan perasaan Tan Cheong Min, yang menangis sebaik menamatkan rutin nandao sehingga ke sidang media semalam, berkata, beliau memahami perasaan pemenang pingat perak sulung negara di Temasya Hangzhou 2022 itu.

“Dia (Cheong Min) pernah melalui situasi hampir sama, berada di kedudukan kedua acara nanquan namun pada acara nandao, sedikit kesilapan membuatkan matanya dipotong dan tergelincir ke kedudukan keempat dan terlepas pingat pada Sukan Asia 2018.

“Dia menangis membuktikan bahawa seseorang atlet… walaupun gagal di Palembang 2018, kesakitan itu disimpan sehingga hari ini, bayangkan lima tahun, mereka simpan dalam hati dan hari ini (semalam) mereka melunaskannya,” kata Kim Fatt, selepas menyaksikan pasukan e-Sukan negara meraih pingat perak.

Ketua kontinjen, Datuk Chong Kim Fatt terus meniupkan kata-kata semangat kepada kontinjen negara di Sukan Asia ke-19.

Dalam pada itu, prestasi skuad negara yang meraih dua perak dan empat gangsa semalam (Selasa).

Justeru, beliau yakin, perjuangan pemenang pingat semalam akan menyuntik semangat atlet negara untuk melakukan yang lebih baik sehingga tamat temasya.

“Kepada atlet kita, saya percaya mereka mempunyai semangat berkobar-kobar dan bukan datang ke sini untuk makan angin.

“Saya yakin, 27 pingat yang kita sasarkan bukan satu masalah, ini janji, hasrat dan semangat untuk kontinjen negara di Sukan Asia Hangzhou 2022,” katanya.

Semalam, dua pingat perak negara disumbang Tan Cheong Min dan e-Sukan (Arena 0f Valor), manakala gangsa disumbang masing-masing dua menerusi pelayaran (Asnawi Iqbal Adam, Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen) dan dua dari skuad berbasikal trek dalam acara pecut berpasukan (wanita-Nurul Aliana Syafika Azizan, Nurul Izzah Izzati Mohd Rosli, Anis Amira Rosidi / lelaki- Umar Hasbullah, Muhammad Ridwan Sahrom, Mohd Fadhil Zonis).