Select Page

Disebalik kempunan piala di Chiang Mai, ada petanda positif skuad Harimau Malaya

Disebalik kempunan piala di Chiang Mai, ada petanda positif skuad Harimau Malaya

Oleh: MOHD FARIQ di Chiang Mai

BERSABARLAH wahai peminat Malaysia.

Di sebalik kegagalan skuad Harimau Malaya membawa pulang Piala Raja Thai buat kali kelima selepas tewas menerusi sepakan penalti, beberapa petanda positif telah berjaya dicatatkan sepanjang kembara di bumi Thailand.

Piala Raja Thai ke-48 hadir tepat pada waktunya bagi memberikan peluang kepada Kim Pan-gon untuk mencari keserasian antara pemain terasnya selain menguji beberapa muka baharu khusus daripada aspek etika kerja dan budaya yang diterapkan.

Kali terakhir pasukan kebangsaan Malaysia dijemput menyertai kejohanan ini pada 1995.

Ini bermakna Thailand juga menghormati status terkini skuad negara berdasarkan prestasi ditunjukkan ketika layak ke Piala Asia AFC 2023 secara merit dalam pusingan kelayakan pada Jun lalu.

Biarpun terikat 1-1 dengan Thailand pada saat akhir dan mara ke final hasil penentuan sepakan penalti, pasukan kebangsaan telah menunjukkan tanda-tanda mampu melakukan sesuatu sebaik tirai kejohanan Piala AFF nanti dibuka pada Disember depan.

Kira-kira empat tahun lalu, ranking pasukan kebangsaan menduduki tangga ke-178 tetapi sebaik ketibaan Pan-gon yang menjadi sifir Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, kini skuad kebangsaan berada di tangga ke-145 dunia.

Kadang-kadang di sebalik kegagalan menjuarai kejohanan untuk mendakap piala tetapi ada perkara positif untuk dinilai iaitu mata-mata penting buat ranking bola sepak negara.

Apa yang pasti, penulis melihat dengan ketara budaya positif yang diterapkan oleh Pan-gon.

Apa penulis dapat kongsikan ketika bumi Chiang Mai dibasahi hujan pada latihan terakhir menjelang perlawanan, Pan Gon tetap meneruskan sesi latihan dan tidak sesekali berganjak.

Betapa komited pasukan kebangsaan kali ini dan inilah watak sebenar pasukan kebangsaan yang dimahukan oleh penyokong tegar Harimau Malaya.

Kebetulan final di stadium Ulang Tahun ke-700 di Chiang Mai dibasahi hujan dan ini tentu membantu pemain menyesuaikan diri dengan keadaan.

Persembahan Ahmad Syihan Hazmi Mohammed adalah isyarat jelas bahawa dia sudah bersedia untuk diberikan peranan sebagai penjaga gol utama negara.

Syihan menunjukkan kemampuan menyelamatkan bola jarak jauh, jarak dekat dan situasi satu lawan satu menerusi dua perlawanan – menentang Thailand dan Tajikistan, menyusul selepas prestasi baik ketika menewaskan Bangladesh pada kempen pusingan kelayakan Piala Asia AFC di Stadium Nasional, Jun lalu.

Kembalinya Brendan Gan selepas dugaan terhadap kesihatannya menggembirakan peminat yang masih mengenang jasanya sebagai tonggak sepanjang 2019, manakala komitmen benteng pertahanan yang diketuai Dion Cools tidak dapat dinafikan.

Tanpa Syamer Kutty Abba yang sedang menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan lutut, Pan-gon mengambil kesempatan menggandingkan Azam Azih bersama Brendan sebagai dua tonggak tengah yang berkemahiran teknikal tetapi tidak setanding Syamer dari segi stamina.

Namun adalah penting untuk Pan-gon memanggil pemain seperti Akram Mahinan, pemain berposisi No 6 yang berpengalaman dan beri dia peluang menyesuaikan diri dengan etika kerja tinggi, serta meluaskan kelompoik pemain tengah bercorak menyerang seperti R. Kogileswaran yang boleh memberi nilai tambah kepada pasukan.

Penulis percaya Pan-gon dan penolongnya mempunyai data dalam menganalisis prestasi semua pemain dalam Liga M cumanya apakah mereka sesuai dengan kehendak sepasukan.

Komitmen pemain juga tidak boleh dipertikaikan, dengan kesungguhan yang terserlah menerusi dua perlawanan ini.

Jentera serangan yang bersilih ganti antara Darren Lok dan Syafiq Ahmad selaku penyerang No 9, diapit Arif Aiman Hanapi atau Mohammadou Sumareh di penjuru kanan serta Akhyar Rashid dan Faisal Halim di sebelah kiri sambil dibantu Safawi Rasid menunjukkan skuad negara ada beberapa opsyen.

Cumanya apabila diberi peluang membarisi kesebelasan permulaan, adalah jelas Sumareh bukan Sumareh yang dahulu, khususnya pada 2019. Jaringannya menentang Indonesia dan Thailand pada pra-Piala Dunia adalah ketika dia menerajui serangan Pahang.

Dengan hakikat bahawa dia sekadar memanaskan bangku simpanan tanpa peluang mengasah kepakaran mencium peluang serta kekuatan fizikal menerusi minit permainan secara kompetitif setiap minggu, Sumareh berkarat di pentas antarabangsa.

Ini adalah dilema yang dihadapi Pan-gon. Dia juga kena berwaspada andai pasukan lawan sudah boleh membaca kesebelasan permulaannya berserta strategi menembusi lawan.

Skuad negara mungkin kempunan piala di Chiang Mai, tetapi tidak mustahil penantian untuk menjulang gelaran kali kedua sejak menjuarai Piala AFF pada 2010 mampu diakhiri Disember nanti jika semua elemen dalam membentuk skuad kebangsaan digabung dijadikan senjata.

Ringkasnya, formula kejayaan Piala AFF nanti adalah pemilihan pemain berdasarkan prestasi semasa yang memahami falsafah, etika kerja serta kehendak taktikal Pan-gon ditambang dengan sokongan padu daripada pucuk pimpinan FAM serta semua penyokong.

Video Terkini

Loading...