BARU enam bulan digandingkan, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing sudah mencipta pencapaian sulung yang cukup membanggakan apabila muncul naib juara Masters China 2026, hari ini.

Lebih manis, kejayaan mara ke final kejohanan berstatus Super 750 itu adalah penampilan final pertama mereka sejak membentuk gandingan pada Mac lalu, sekali gus mengatasi pencapaian sebelum ini apabila hanya mara ke separuh akhir Terbuka Macau pada Jun.

Pang Ron-Pei Jing yang menghuni ranking ke-85 dunia bagaimanapun gagal melengkapkan kempen dengan gelaran apabila tewas kepada pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, 19-21, 16-21 dalam aksi selama 50 minit di Shenzhen.

“Saya rasa secara keseluruhan saya gembira dengan prestasi di sini. Walaupun berdepan fikiran negatif, kami cuba kembali fokus dan cuba mendapatkan semula rentak permainan,” kata Pei Jing.

Pang Ron mengakui mereka sedikit gementar pada awal perlawanan sebelum mula menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang, namun pasangan China itu semakin sukar ditangani pada set kedua.

“Mungkin mereka lebih yakin dan permainan mereka semakin mantap pada set kedua. Kami masih mencari jalan untuk mengatasi perubahan permainan mereka tetapi mungkin sedikit terlambat,” katanya.

Pencapaian sulung itu turut memberikan pulangan lumayan apabila Pang Ron-Pei Jing membawa pulang hadiah AS$70,000 (RM283,114) serta 9,300 mata, yang dijangka melonjakkan kedudukan mereka daripada ranking ke-85 dunia ke kelompok 50 terbaik.