PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meluahkan rasa kecewanya terhadap sikap tidak profesional yang ditunjukkan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Hamidin menerusi satu sidang media khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis menceritakan kronologi apa yang berlaku pada hari-hari terakhir Pan-gon dan mahu semua rakyat Malaysia mengetahui cerita sebenar.
Beliau meluahkan rasa kecewa dengan tindakan pengendali kelahiran Korea Selatan itu yang menjadikan FAM sebagai medan untuk penyokong-penyokong melepaskan kemarahan kerana dilihat melepaskan seorang jurulatih berkaliber yang menaikkan ranking Fifa Malaysia.
“Apabila tamat perlawanan menentang Chinese Taipei, dia meminta cuti selama tiga minggu dan selepas itu dia berjumpa saya dengan tergesa-gesa menyatakan bahawa dia nak saya lepaskan kontrak bersaksikan beberapa pegawai kanan FAM.
“Dia menyatakan mempunyai masalah dengan keluarga tetapi tetap mendesak saya untuk menebus kontraknya. Saya meminta dia menunggu sehingga hujung tahun atas rasa hormat padanya namun dia tetap berkeras untuk dilepaskan.
“Sebelum saya bertolak ke Mallorca, dia masih merayu untuk dilepaskan dan saya berbincang dengan pegawai saya dan berkata nampak macam dia hendak sangat dilepaskan dan akhirnya saya bersetuju secara verbal sebelum menyuruh dua timbalan saya melakukan sidang media.
“Saya tahu peminat akan marah pada FAM tetapi apa yang mengecewakan adalah ketika sidang media dia memberitahu dia tidak mendapat sokongan sebagai alasan untuk dia pergi.
“Akhirnya saya mendapat panggilan telefon mengatakan yang dia mendapat tawaran daripada Ulsan HD dan ini kisahnya yang menunjukkan dia tidak profesional dan sehingga hari ini saya tidak menjawab panggilan telefonnya.
“Saya sedih kerana FAM menjadi mangsa di sini. Kita menjaga dia dan mendapat tawaran lebih tinggi dan berikan alasan yang tidak betul untuk tinggalkan kita, seterusnya menjadikan FAM tempat kemarahan penyokong.
“Atas sebab mengenang jasa, kita tidak mahu meminta pampasan kontraknya yang berbaki satu tahun setengah kerana dia merayu untuk dilepaskan cuma apa yang saya kecewa kerana dia tidak menyatakan kebenaran kepada rakyat Malaysia,” jelasnya.
Hamidin turut menjelaskan bahawa kenaikan ranking Harimau Malaya setakat ini bukan sahaja hasil kerja keras oleh Pan-gon tetapi ia turut disumbangkan oleh Tan Cheng Hoe yang juga mempunyai jasa bersama skuad kebangsaan.
“Apabila bercakap tentang ranking, kita perlu beri penghargaan kepada Tan Cheng Hoe di mana dia membawa pasukan dari ranking 178 dunia hingga ke-154 pada Januari 2022 dan Kim Pan-gon membawa Malaysia sehingga ke tangga 134 dunia.
“Kita melihat bahawa Cheng Hoe menaikkan 24 anak tangga manakala Pan-gon 20 anak tangga dan ini adalah fakta yang kita semua dan para penyokong perlu tahu,” jelasnya.
Kim Pan-gon menyertai FAM pada Februari 2022 dan berjaya membawa Malaysia layak ke Piala Asia 2023 secara merit buat pertama kali sejak 43 tahun dan berjaya mengikat Republik Korea 3-3 ketika peringkat kumpulan di Qatar.