
“Kompetitif dan fleksibel” – KPG

KETUA Jurulatih Skuad Kebangsaan, Kim Pan-gon mahukan kesemua 27 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat Harimau Malaya menunjukkan sikap kompetitif dan cuba menjadi fleksibel dalam posisi yang diberikan kepada mereka.
Pan-gon juga sentiasa mahu mengingatkan kesemua pemain bahawa mereka bukanlah yang terbaik dan mereka perlu bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama untuk dua perlawanan persahabatan ini.
Skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon memulakan kem latihan pusat di Johor Bahru, hari ini sebagai persiapan menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan pada 23 Mac & Hong Kong, 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/LPLZHOV5zQ
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) March 18, 2023
“Saya mahu pastikan pasukan ini perlu sentiasa kompetitif. Seramai 27 orang pemain yang dipanggil ini sering diingatkan bahawa mereka bukan yang terbaik sebaliknya ini adalah peluang buat mereka menunjukkan potensi dan kemampuan mereka.
“Pemain-pemain baharu yang dipanggil juga baik dan kami akan bantu lapan pemain ini ketika latihan meningkatkan diri mereka ke tahap tertinggi dan harap mereka cepat menyesuaikan diri dan jika mempunyai peluang mereka boleh membuktikan yang mereka mampu bermain untuk Malaysia pada bila-bila masa sahaja.
“Kami juga akan gunakan kesemua lima pemain simpanan dan jika mereka diberikan peluang bermain sama ada sekejap atau sepenuh masa, prestasi mereka akan dinilai pada perlawanan nanti kerana kami mahukan pemain yang mempunyai kualiti dan fleksibel dalam posisi mereka,” katanya pada hari pertama latihan di Pusat Latihan JDT.
Harimau Malaya bakal mahu memberikan aksi bola sepak tempo pantas kepada penyokong apabila beraksi di Stadium Sultan Ibrahim menjelang perlawanan Persabahatan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong pada 23 Mac dan 28 Mac ini.