MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengesahkan kontinjen negara tidak akan memboikot Sukan Olimpik Paris 2024.
Dilaporkan kira-kira 40 negara akan memboikot temasya itu sekiranya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan atlet Russia dan Belarus bertanding.
Berdasarkan rekod, Malaysia pernah menjadi antara 65 negara memboikot Olimpik Moscow 1980 ketika Perang Dingin.
Jelas Hannah, politik dan sukan tidak seharusnya dicampur aduk.

Malaysia kekal mengambil bahagian di OIlimpik Paris dan tidak mencampur aduk politik ke dalam sukan. – Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.
Hannah ditemui pada Majlis Pengumuman Senarai Atlet Road to Gold (RTG) di Putrajaya.
Tambahnya, keputusan meneruskan penyertaan di Olimpik Paris dibuat hasil mesyuarat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan tiada isu jika atlet memenangi medal kerana kelemahan penganjuran atau penarikan diri negara lain daripada temasya itu.
“Saya tidak mahu komen mengenai negara lain tetapi apa yang jawatankuasa putuskan selaras dengan ketetapan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), kita tidak mencampur adukkan polik ke dalam sukan.
“Apabila kita menghantar atlet, mereka akan memberi yang terbaik kerana mereka layak untuk memenangi pingat mereka,” katanya.

Pertemuan istimewa dengan Lee Zii Jia. Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bertemu dahulu dengan pemain nombor empat dunia itu, sebelum Jawatankuasa RTG menemuinya bagi mendaptkan persetujuan berada dalam projek terbabit.
Sementara itu, Hannah mengakui akan bertemu pemain badminton nombor empat dunia, Lee Zii Jia esok berhubung penyenaraian nama pemain profesional itu ke dalam RTG.
Zii Jia antara 15 atlet tersenarai ke dalam program itu.
Begitupun, beliau berkata, Penyelaras Program RTG, Stuart Ramalingam dan tiga bekas atlet yang berada dalam jawatankuasa tersebut, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi tetap perlu mengadakan pertemuan dengan setiap atlet yang disenaraikan, bagi mendapatkan persetujuan.
“Atlet dan jurulatihnya perlu bersetuju dan menandatangani perjanjian. Selepas mereka bertemu dan mendengar keperluan atlet, akan ada perjanjian kerana kita mahukan komitmen atlet. Kita tidak mahu selepas bagi apa yang mereka minta tetapi tiada komitmen dan projek ini tidak akan berjaya.”

Senarai nama atlet dalam Road to Gold (RTG):
- Mohd Azizulhasni Awang (Basikal Trek)
- Muhammad Shah Firdaus Sahrom Awang (Basikal Trek)
- Lee Zii Jia (Badminton, Pro)
- Aaron Chia-Soh Wooi Yik (Badminton)
- Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (Badminton)
- Pearly Tan-M.Thinaah (Badminton)
- Tan Kian Ming-Lai Pei Jing (Badminton, Pro)
- Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (Badminton, Pro)
- Pandalela Rinong Pamg (Terjun)
- Nor Dhabitah Sabri (Terjun)