PEMAIN tengah Harimau Malaya B-23, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar melaungkan amaran betapa dia tidak gentar untuk berdepan Thailand pada aksi kedua Kumpulan C saingan bola sepak Piala AFC B-23 pada Ahad bermula jam 11 malam waktu Malaysia.
Muhammad Nur Azfar yang lebih mesra disapa Kaka juga tidak sabar menanti pertembungan di Stadium Bunyodkor di Tashkent, Uzbekistan itu, dengan matlamat utama pasukan negara hanya satu iaitu memburu kemenangan.
“Untuk perlawanan esok (malam ini) tiada yang mustahil sebab kita pernah kalahkan mereka di Sukan SEA Vietnam tempoh hari.
“Jadi perlawanan ini begitu penting bagi menaikkan moral pasukan. Aksi ini adalah pertemuan hidup mati. Kalau kita kalah, kita terkeluar. Kami akan memastikan kita akan menang ke atas Thailand,” katanya.
Semasa kempen Sukan SEA lepas, dia berjaya meledak satu gol ketika pasukannya menumbangkan Thailand 2-1 di peringkat kumpulan.
Mengulas mengenai peluang diturunkan ke dalam kesebelasan utama, Muhammad Nur Azfar berkata dia menyerahkan keputusan itu kepada barisan kejurulatihan.
“Kalau (mereka) bagi saya main, saya main bermati-matian, saya akan bagi segala-galanya,” ujar pemain kelahiran Kuala Lumpur berketinggian 1.69 meter itu.
Sementara itu, jurulatih Harimau Malaya B-23, Brad Maloney berkeyakinan anak buahnya mampu bangkit melupakan episod ngeri dibelasah 1-4 oleh juara bertahan, Korea Selatan.
“Kami sudah biasa dengan Thailand kerana kami telah bermain antara satu sama lain baru-baru ini dalam Sukan SEA dan juga dalam kelayakan.
“Saya tahu mereka mempunyai sedikit perubahan dalam corak permainan mereka. Kami telah menilai semula taktik dari perspektif kami dan tidak sabar untuk menghadapinya esok.
“Kami menjangkakan perlawanan sukar menentang Thailand. Mereka adalah pasukan yang sangat bagus dan saya perhatikan mereka telah membawa beberapa pemain dari luar negara untuk kejohanan ini. Namun begitu, pemain kami bersedia untuk menghadapi cabaran,” kata Maloney.