Oleh: MOHD FARIQ
TULAR bahawa Perviz Qureshi “membantai” Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang dituduh enggan bertemu dengannya bagi membincangkan masa depan anaknya, Jaami.
Siapa Perviz untuk menuntut keistimewaan dilayan oleh Hamidin?
Apakah sebelum ini Perviz dapat bertemu dengan Presiden Persatuan Bolasepak Iraq, Adnan Darjal?
Apakah Pengerusi Brighton Hove Albion, Tony Bloom, boleh melayan kehendak Perviz sesuka hati dia?
Cuba kita layari laman web rasmi Brighton Hove Albion.
Penulis cuba mencari nama Jaami dalam barisan Bawah 18 tahun, Bawah 21 tahun dan skuad senior. Namanya tidak ada.
Apakah Jaami masih bersama Brighton?

Hamidin (kanan) bersama Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan-gon.
Sebenarnya, FAM sudahpun menerima kunjungan Perviz bersama anaknya Jaami dan Adam. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Setiausaha Agung, Mohd Saifuddin Abu Bakar, dan turut dihadiri Pengarah Teknikal, Scott O’Donnel.
Kunjungan itu dimuat naik oleh Perviz sendiri dalam laman instagramnya tanpa menceritakan apa yang berlaku dalam pertemuan itu.
Risikan penulis mendapati bahawa Perviz ditanya sama ada Jaami bersedia menggugurkan kerakyatan British untuk mendapatkan pasport Malaysia.
Beliau juga ditanya sama ada ibu Jaami boleh membuat permohonan kewarganegaraan bagi pihak Jaami, sebagaimana prosedur sedia ada.
Bahkan FAM bersedia membantu proses permohonan itu dengan memberi maklumat individu dan unit yang boleh dihubungi bagi memudahkan proses permohonan.
Putar jam ke Januari 2022, apabila Perviz mendedahkan di laman twitter bahawa Iraq sentiasa berhubung dengan anaknya dengan menawarkan kemungkinan beraksi untuk negara itu.
Inilah masalahnya apabila media dan netizen melayan semua ulasan Perviz tanpa menulis perspektif pihak FAM sebagaimana yang dijelaskan menerusi bebenang komunikasi di antara badan induk itu dengan Perviz yang disiarkan dalam laman web FAM pada Januari 2022.
Penulis berharap tiada pihak media yang mudah terpedaya dengan dakwaan sebelah pihak.
Tutuplah kes Jaami ini.
Melainkan dia kembali ke tanah air dan beraksi untuk mana-mana kelab di Malaysia dan membuktikan kemampuannya serta memohon kerakyatan mengikut prosedur!