Kapten Perak Bison, Amirul Zazwan, mengakui tekanan beraksi di laman sendiri menjadi antara cabaran yang perlu diharungi pasukannya sebelum bangkit menewaskan Penang Black Panthers 2-1 dalam aksi Kumpulan D STL Premier 2026 GP Perak, semalam.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Ipoh, Perak Bison bermula perlahan apabila tewas 7-15 pada set pertama sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 15-7 dan 15-9 untuk membuka kempen musim ini dengan kemenangan.

Amirul berkata, beliau melihat rakan sepasukan, Khathadet Srichan, agak gugup ketika beraksi di hadapan penyokong yang ramai, namun cuba menenangkan pemain itu supaya dapat memberikan aksi terbaik di gelanggang.

“Saya rasa dia agak gugup untuk bermain di tempat sendiri di Ipoh dengan penyokong yang ramai. Saya nampak dia nak masuk ke dalam gelanggang pun nampak agak berdebar-debar, tetapi saya cuba tenangkan dia.

“Saya yakin dengan semua pemain yang ada. Perjalanan kita bukan mudah untuk menempuh beberapa GP, tetapi ini baru perlawanan pertama. Saya kena berbincang semula dengan pemain dan perbaiki apa yang patut selepas ini,” katanya.

Sementara itu, apit kanan Perak Bison, Nazrein Daniel, menyifatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri buat kali pertama memberikan impak besar terhadap semangatnya sebagai pemain.

Menurutnya, Perak Bison masih mencari rentak pada set pertama sebelum kemasukan beliau dan Najmi Syahfiq membantu pasukan memperkemaskan permainan serta bangkit menguasai dua set terakhir.

“Jujur, ini kali pertama saya bermain di gelanggang sendiri. Jadi, saya rasa peranan bermain di tempat sendiri memberikan impak yang amat besar kepada semangat.

“Untuk set pertama tadi, kami masih mencari rentak. Apabila saya dan Bob (Najmi Syahfiq) masuk pada set kedua, kami sebagai satu pasukan saling membantu dan masing-masing menjalankan tugas,” katanya.

Nazrein turut berharap penyokong terus memberikan sokongan kepada Perak Bison tanpa mengira keputusan perlawanan, termasuk ketika pasukan berdepan kekalahan.

Kemenangan ke atas Penang Black Panthers itu memberikan permulaan positif buat Perak Bison selaku tuan rumah GP pertama musim ini, namun pasukan berkenaan sedar masih terdapat ruang untuk diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya.