Kredit Gambar: Facebook PSM
Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) tidak mahu mengambil risiko besar menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila mengekalkan 12 pemain yang membantu Malaysia meraih dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa serta pengalaman yang dimiliki barisan pemain berkenaan selepas membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan (Kredit Gambar: PSM)
Menurutnya, Sukan Asia yang bermula 19 September ini bukan masa sesuai untuk melakukan eksperimen dengan membawa masuk terlalu ramai pemain baharu, sebaliknya pasukan perlu tampil dengan kekuatan terbaik bagi memburu emas.
“Alasannya adalah pemain-pemain ini pun tengah top form. Tak ada sebab kita nak tolak. Mereka dah terbukti pun, mereka bermain Sukan SEA, mereka main mana pun memang dari segi mental, pengalaman cukup kuat,” katanya.
Sumali menjelaskan PSM juga tidak mahu mengambil risiko dengan memberi pendedahan pada saat akhir kepada pemain muda kerana harapan yang diletakkan terhadap skuad negara di Aichi-Nagoya cukup tinggi.
“Ini adalah Sukan Asia. Harapan ini bukan harapan saya, tetapi harapan negara. Harapan negara yang nak kilaungkan emas tersebut sudahlah kita kena hantar pemain yang kita yakin boleh memberikan persembahan yang memang kita tahu boleh mendapatkan pingat emas,” katanya.
Beliau turut menegaskan pemilihan 12 pemain berkenaan dibuat berdasarkan keperluan untuk menghimpunkan barisan terbaik dalam kalangan pemain terbaik, bukannya sekadar memberi ruang kepada pemain muda untuk mendapatkan pengalaman.
“Kita kena senaraikan 12 pemain yang terbaik dalam kalangan yang terbaik. Kita tak boleh ambil risiko letak dua tiga orang budak muda untuk bagi pendedahan,” katanya.
Pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bagi acara berpasukan lelaki bersama India, Filipina dan Jepun, manakala skuad regu lelaki turut berada dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Myanmar.
Malaysia hadir dengan momentum positif selepas meraih dua pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025, masing-masing menerusi acara berpasukan lelaki selepas menewaskan Thailand 2-1 dan acara antara regu dengan kemenangan 2-0 ke atas Vietnam.