Kredit Gambar: Franck Fife/AFP

Pierre-Emerick Aubameyang mengambil keputusan untuk menamatkan karier antarabangsa bersama Gabon selepas mendakwa dirinya dihina dan imejnya dicemarkan oleh persatuan bola sepak negara berkenaan.

Keputusan itu dibuat penyerang berusia 37 tahun berkenaan selepas melalui kemelut susulan kempen mengecewakan Gabon pada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) tahun lalu.

Gabon gagal menyerlah dalam kejohanan berkenaan apabila tewas kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan, sekali gus mendorong rombakan besar-besaran terhadap skuad kebangsaan.

Aubameyang antara pemain yang digugurkan dalam rombakan tersebut, selain pertahanan berpengalaman Bruno Ecuele Manga serta keseluruhan barisan kejurulatihan turut disingkirkan.

Situasi itu nyata mengecewakan Aubameyang yang sebelum ini tetap berusaha membantu Gabon pada AFCON walaupun terpaksa beraksi ketika mengalami kecederaan.

“Mereka menghina dan mencemarkan imej saya, sedangkan saya beraksi di AFCON dalam kecederaan,” kata Aubameyang mengenai layanan yang diterimanya.

Bekas penyerang Arsenal dan Chelsea itu turut menganggap kemelut yang berlaku dalam skuad kebangsaan Gabon bukan sekadar berpunca daripada isu kecil yang dikaitkan dengannya, malah melihat terdapat masalah lebih besar yang perlu diberi perhatian.

“Ini sudah melampau dan lebih baik saya undur diri. Saya fikir kemelut sebenar skuad kebangsaan jauh lebih mendalam daripada isu kecil yang dikaitkan dengan saya,” katanya.

Sepanjang 17 tahun bersama Les Panthères sejak membuat penampilan sulung pada 2009, Aubameyang mengumpul 86 kaps dan menjaringkan 40 gol untuk menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman Gabon.