PRESIDEN Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Datuk Haji Hamidin Mohd Amin, memohon maaf kepada seluruh ahli gabungan FAM serta penyokong bola sepak Malaysia susulan keputusan yang dibuatnya berkaitan pemilihan kepimpinan badan induk itu.

Hamidin berkata, keputusan berkenaan bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan terutama selepas beliau dilaporkan menerima pencalonan tertinggi dan sokongan majoriti daripada sebahagian besar ahli gabungan FAM.

Justeru, beliau menyampaikan permohonan maaf secara tulus kepada semua pihak yang telah memberikan kepercayaan serta sokongan kepadanya selama ini sambil menyifatkan sokongan tersebut sebagai satu amanah dan kepercayaan besar daripada keluarga bola sepak Malaysia.

“Namun, setelah mempertimbangkan kepentingan FAM dan masa depan bola sepak negara secara menyeluruh, saya percaya langkah ini membuka ruang terbaik untuk FAM melangkah ke era baharu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Hamidin, keputusan itu juga dibuat bagi memastikan FAM kekal fokus serta dapat meneruskan gerak kerja organisasi tanpa terganggu oleh isu berkaitan proses pemilihan kepimpinan.

Beliau menegaskan tidak mahu sesi pemilihan tersebut menjadi punca perpecahan dalam kalangan ahli gabungan FAM atau menjejaskan usaha badan induk itu melaksanakan agenda pembaharuan dan pembangunan bola sepak negara.

Sebaliknya, Hamidin berharap FAM akan terus kukuh dan bersatu selain kembali mendapat keyakinan seluruh rakyat Malaysia, khususnya penyokong serta peminat Harimau Malaya.

Hamidin juga menutup dengan ucapan terima kasih kepada semua ahli gabungan FAM dan penyokong Harimau Malaya atas kepercayaan, sokongan serta kasih sayang yang diberikan kepadanya selama ini.