Pemain pickleball remaja Malaysia mencuri perhatian pada International Pickleball Tournament 2026 – World Cup Edition selepas meraih tiga pingat dalam kategori remaja di Da Nang, Vietnam.

Kejayaan itu menyaksikan wakil negara membawa pulang satu pingat perak dan dua gangsa menerusi saingan yang menghimpunkan pemain muda dari pelbagai negara, termasuk Vietnam dan India.

Pingat perak disumbangkan Dzarif Dzakwan yang muncul naib juara acara perseorangan lelaki Bawah 18 Tahun (BU18) selepas membawa cabaran National Junior Team U18.

Dua lagi pingat gangsa hadir menerusi gandingan Brandon Basas dan Ethan Chan Kah Jun dalam acara beregu lelaki Bawah 16 Tahun (BU16).

Sementara itu, pasangan Raessa dan Kim Nardine Marisse turut menaiki podium selepas meraih gangsa dalam acara beregu perempuan Bawah 10 Tahun (GU10).

Kesemua pemain terbabit beraksi di bawah E23 Junior Pro Pickleball Team yang dikendalikan jurulatih Gee Ci Long, yang turut membimbing skuad kebangsaan Malaysia.

Selain tiga pemenang pingat, beberapa lagi pemain E23 turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya mara ke peringkat kalah mati, termasuk pusingan 32 terbaik, 16 terbaik dan suku akhir.

Gandingan perempuan Bawah 12 Tahun (U12) turut hampir mencipta kejayaan selepas menamatkan saingan di tempat keempat, ketinggalan tipis daripada podium selepas tewas dalam aksi sengit kepada pasangan dari Vietnam.

Pencapaian di Da Nang itu menjadi perkembangan positif buat pembangunan pickleball remaja Malaysia, khususnya dalam memberikan pendedahan kepada pemain muda untuk berdepan lawan antarabangsa serta membina pengalaman di pentas kompetitif.