PENENTUAN penalti menjadi tuah buat Kuala Lumpur City FC apabila menang 5-3 dan layak ke final Piala AFC selepas terikat 0-0 dalam 120 minit permainan final Antara Zon di Jizzakh, Uzbekistan.
Kevin Mendoza muncul wira buat KL City apabila cemerlang menyelamatkan penalti kedua Sogdiana sebelum Giancarlo Gallifuco menyempurnakan penalti kelima untuk membawa skuad bimbingan Bojan Hodak ke final.
Meskipun ditekan hebat Sogdiana sepanjang 90 minit dan masa tambahan 30 minit, KL City mempamerkan aksi bertahan yang penuh disiplin dengan tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh mengancam kubu pertahanan.
Keputusan Masa Penuh (Selepas Masa Tambahan)
PFC Sogdiana Jizzakh 0-0 Kuala Lumpur City FC
PFC – ⚽❌⚽⚽
KLC – ⚽⚽⚽⚽⚽Kuala Lumpur City FC menang penalti 5-3 dan layak ke final Piala AFC #sampaimatikualalumpur pic.twitter.com/J3Ua3vwiCa
— Flash Sukan (@FlashSukan) October 5, 2022
KL City juga sesekali melancarkan serangan balas namun dihampakan kekentalan barisan pertahanan Sogdiana dan juga penyudah yang kurang baik untuk mendapatkan gol pendahuluan.
Sama seperti ketika aksi zon Asean dimana KL City berjaya memenangi penentuan penalti, kesemua pemain yang diberikan tanggungjawab mengambil penalti, Paulo Josue, Romel Morales, Hadin Azman, Akram Mahinan dan Giancarlo Gallifuco berjaya menyempurnakan tugasan masing-masing.
Kuala Lumpur City FC menjadi pasukan kedua layak ke final Piala AFC selepas Johor Darul Ta’zim melakukannya pada 2015 dan kini selangkah untuk muncul pasukan dari Timur kedua muncul juara Piala AFC.
Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bakal menjadi gelanggang perlawanan penentuan juara dengan pasukan Al-Seeb dari Oman bakal menjadi halangan terakhir buat Kuala Lumpur City mencipta sejarah terbaharu buat kelab warga kota ini.