SKUAD Hoki kebangsaan mengakhiri Jelajah Eropah dengan nota kemenangan pada perlawanan persahabatan terakhir menentang Perancis.

Kemenangan 4-2 itu bagaimanapun dibayangi banyak kelemahan pasukan yang perlu diatasi jurulatih A Arul Selvaraj.

Apa tidaknya, gawang skuad negara bocor diminit awal permainan selain ketinggalan dua kali di belakang pasukan lawan.

“Matlamat perlawanan terakhir ini, kita mahukan kemenangan dan kita berjaya mencapainya, walaupun pemain terpaksa menempuh dua jam perlawanan ke venue perlawanan.

“Hari ini juga pemain beraksi dengan tempo tinggi, dua kali bangkit dan akhirnya memenangi perlawanan,” kata Arul.

Bagaimanapun, Arul berkata, Perancis lebih banyak menguasai permainan dengan 57 peratus penguasaan, selain pasukan lawan mendapat 16 pukulan sudut penalti, dan menyempurnakan dua gol.

“Dari segi peratusan jaringan sudut penalti, pemain kita lebih baik apabila sempurnakan 50 peratus daripada pukulan sudut penalti yang kita peroleh. Tetapi dari segi jumlah sudut penalti, kita hanya memperoleh enam sahaja dan sempurnakan tiga.

“Di sini kita dapat lihat Perancis lebih banyak mencipta peluang dan pemain kita sepatutnya melakukan perkara itu,” kata jurulatih itu lagi.

Pada perlawanan itu, skuad kebangsaan ketinggalan seawall minit keenam perlawanan sebelum bangkit menang 4-2.

Gol pasukan negara dijaringkan Razie Rahim (2) menerusi pukulan sudut penalti, Muhammad Aminuddin Mohd Zain (1) pukulan sudut penalti dan Muhamada Ramadan Rosli (1) gol padang.

Justeru, Arul berkata, terlalu banyak dipelajari pemain daripada empat perlawanan di Eropah.

“Balik nanti, kita perlu pertingkatkan penguasaan dalam kawasan pertahanan, bertahan dengan mengelak daripada menghadiahkan banyak pukulan sudut penalti kepada pasukan lawan selain menguasai kawasan lawan supaya setiap pemain ebih selesa dan tenang ketika membuat keputusan melakukan jaringan.

“Pemain akan berehat untuk empat hingga lima hari sebelum masuk semula ke kem latihan luar selama seminggu. Selepas itu, akan kembali ke padang, kita akan fokus kepada aspek teknikal dan taktikal, sebelum bergerak ke Ipoh pada 25 Oktober bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah,” kata Arul lagi.

Sepanjang berada di Belgium, skuad kebangsaan mencapai kemenangan 1-0 ke atas Belgium A sebelum tewas kepada skuad Piala Dunia Belgium 0-7.

Pasukan sama tewas kepada Perancis 2-3 semalam sebelum bangkit dengan kemenangan ke atas pasukan ranking ke-11 dunia itu 4-2 hari ini.