SAINGAN Liga Super yang disertai 14 pasukan termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC disifatkan sebagai mencabar dan kompetitif sepanjang musim ini.

Bagi pemain baharu Sang Kenari, Moses Atede Jona, dirinya sedia bersaing melonjakkan KDA FC ke tahap membanggakan selepas dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia bermula 5 Julai.

“Pastinya ia satu cabaran baharu buat saya selepas kali pertama hadir ke Malaysia dan bermain dalam Liga Super. Saya akan gunakan pengalaman yang ada ketika mewakili kelab di Liga Bahrain.

“Bagi saya, Liga M satu liga yang cukup kompetitif dan ini masa terbaik buat saya mempamerkan penampilan terbaik buat skuad Kedah,” kata pemain kelahiran Kaduna, Nigeria berusia 25 tahun itu.

Bekas tonggak tengah kelab Bahrain, Al-Muharraq yang menjuarai Piala AFC pada 2021 percaya sokongan ditunjukkan rakan sepasukan mampu menghadirkan impak lebih istimewa dalam kem Sang Kenari.

Pemerhatian FLASH SUKAN semasa sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Jumaat dapati Moses Atede begitu positif dan berusaha gigih bagi memikat hati Nafuzi Zain supaya memberi lebih pilihan taktikal.

Pengambilan Moses Atede juga adalah bagi mengisi kuota Asia pasukan Sang Kenari untuk menambah rencah di bahagian tengah selepas tampil dominan di Liga Bahrain dan dinilai antara yang terbaik mengemudi peranan barisan tengah bertahan.

Dia kini akan menambah suntikan baru dibahagian jentera serangan menerusi senjata pemusnah baharu yang dibawa masuk, Ifedayo Olusegun.