Tan Cheng Hoe akan terus memainkan peranan dalam pembangunan skuad kebangsaan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikannya sebagai Pengarah Pasukan Harimau Malaya.

Pelantikan itu menyusul selepas beliau sebelum ini diberikan tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Interim pada 25 Jun 2026 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Peter Cklamovski.

Cklamovski sebelum itu menamatkan khidmatnya bersama Harimau Malaya menerusi persetujuan bersama dengan FAM, berkuat kuasa 16 Jun 2026.

Bagaimanapun, tugas Cheng Hoe sebagai pengendali sementara kini beralih kepada peranan baharu yang membolehkannya terus menyumbang kepada pasukan kebangsaan menerusi pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.

Menurut FAM, Cheng Hoe akan bertanggungjawab membantu memperkukuh aspek pengurusan serta hala tuju pembangunan pasukan-pasukan kebangsaan.

Badan induk itu turut merakamkan penghargaan atas kesediaan beliau menerima tanggungjawab sebagai Ketua Jurulatih Interim, selain komitmen dan khidmat yang dicurahkan sepanjang tempoh mengendalikan Harimau Malaya.

FAM turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman luas Cheng Hoe dalam arena bola sepak mampu terus memberikan manfaat kepada pembangunan bola sepak negara menerusi jawatan baharunya itu.