OMAR Al-Maliki antara tonggak utama skuad kebangsaan Oman memberi pandangan bahawa, aksi tidak memberangsangkan dipamerkan pasukan Harimau Malaya adalah berpunca daripada tekanan yang mengawal diri mereka.

Mungkin kekalahan yang menimpa pasukan Malaysia sewaktu saingan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Muscat, Oman telah menjadi salah satu faktor untuk anak buah kendalian Kim Pan-Gon tidak menampilkan permainan yang cukup bertenaga di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada aksi semalam.

Pemain tengah berbisa itu bagaimanapun masih dapat melihat usaha dan keinginan Malaysia untuk menang, namun rezeki tetap menyebelahi skuad dari negara Arab tersebut.

Malaysia tewas 0-2 terhadap Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada Selasa.

“Kami telah menampilkan satu aksi yang cukup sengit dan kami berhempas pulas dari awal minit permainan. Kami juga dapat menggunakan peluang yang terbuka dengan sebaik mungkin.

“Malaysia juga merupakan sebuah pasukan yang kuat dan bagus, tetapi kami lebih layak untuk mengambil keputusan kemenangan malam ini.

“Kami mungkin lebih fokus terhadap permainan di atas padang lebih daripada Malaysia, mungkin juga mereka bermain di bawah tekanan setelah kalah di Oman pada perlawanan sebelum ini. Itu satu kelebihan buat pasukan kami,” ujar Omar ketika ditemu bual selepas tamat perlawanan pada malam Selasa.

Omar berjaya membuka tirai jaringan Oman pada aksi semalam.

Omar juga optimis bahawa pasukannya dapat melepasi saingan kelayakan Piala Dunia 2026, dan mereka akan cuba untuk mengekalkan rentak perlawanan supaya dapat merebut kedudukan pertama dalam kumpulan.

Pada aksi semalam, pemain tengah itu berjaya mencipta jaringan pertama menerusi sepakan penalti di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa, sekali gus memberi keputusan 2-0 yang memihak kepada mereka.