PEMAIN pertahanan skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Harith Haiqal teruja setelah menerima seruan untuk menyertai skuad kebangsaan ke Oman dan menganggap ianya sebagai satu rezeki di bulan Ramadhan.
Harith yang turut berada di radar skuad B-23 untuk ke Piala Asia Qatar pada April hadapan juga mendedahkan bahawa ini merupakan panggilan kali keduanya bersama Harimau Malaya.
Tambah pemain berusia 22 tahun itu, kenyataan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini yang mengumumkan ketiadaan Junior Eldstal mungkin penyebab dirinya ke Oman dan mungkin juga sebaliknya.
“Mungkin jika Junior di sini, saya tiada. Mungkin juga Junior di sini, saya juga ada, saya sendiri tidak pasti.

Harith Haiqal (kiri) bersedia untuk berikan yang terbaik buat skuad kebangsaan.
“Saya rasa kita sebagai manusia memang perlukan nasib, dan hal ini bukan sekadar nasib, ini rezeki saya. Saya berusaha dan sudah lima tahun dengan Selangor, ini panggilan rasmi pertama setelah disenaraikan dan saya sangat bersyukur, bangga.
“Sudah pasti saya akan buat yang terbaik jika diberi peluang untuk bermain di Oman nanti,” ujarnya ketika ditemui di Lapangan Terbang KLIA, pagi Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN : Matthew Davies, Junior Eldstal tak sertai skuad Harimau Malaya ke Muscat
Sama ada diletakkan dengan pasukan B-23 atau skuad utama, Harith menegaskan bahawa dirinya tetap akan melakukan yang terbaik sejurus membuktikan kemampuannya dalam bersaing di kancah bola sepak dunia.
Skuad kebangsaan bakal berdepan cabaran menentang pasukan Oman pada 22 Mac depan dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.