JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan ujian getir apabila mereka bertandang ke Stadium Central Coast untuk menentang kelab Australia, Central Coast Mariners, dalam perlawanan penting Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) malam ini.
Kemenangan amat diperlukan oleh Harimau Selatan bagi memastikan harapan mereka mara ke pusingan 16 terbaik kekal hidup.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio, mengakui cabaran besar yang menanti mereka apabila berdepan skuad kendalian Mark Jackson, yang terkenal dengan corak permainan dinamik serta pengalaman luas dalam saingan Liga A Australia yang sangat kompetitif.
“Ia adalah perlawanan yang sangat penting bagi kami. Central Coast Mariners adalah pasukan yang kuat dengan pemain muda, pantas, dan memiliki kekuatan fizikal.
“Kami perlu berdisiplin secara taktikal dan melaksanakan perancangan permainan dengan cermat kerana kemenangan adalah misi utama kami untuk berada dalam kelompok lapan terbaik di Zon Timur,” kata Bidoglio.
Beliau turut menegaskan bahawa analisis terperinci mengenai gaya permainan Mariners telah dilakukan.
“Mereka banyak bergantung pada situasi bola mati, dan kami perlu sentiasa berwaspada agar tidak terperangkap dengan taktik mereka,” katanya.
JDT kini berada di tangga keenam dalam kumpulan dengan lapan mata, ketinggalan satu mata di belakang Pohang Steelers (Korea Selatan) yang mengumpul sembilan mata. Shanghai Port (China) dan Buriram United (Thailand) turut memiliki lapan mata tetapi berada di kedudukan lebih baik berdasarkan perbezaan gol.
Kemenangan akan memberikan lonjakan besar kepada peluang JDT untuk mara ke peringkat seterusnya serta mengekalkan status mereka sebagai salah satu pasukan elit Asia.
Jurulatih dari Argentina itu turut mengesahkan bahawa beberapa pemain utama seperti Murilo Henrique, Juan Muniz, dan Park Jun-heong tidak dapat beraksi akibat penggantungan. Bagaimanapun, tiga pemain import dari Sepanyol, iaitu Alvaro Gonzales, Jonathan Viera, dan Roque Mesa, akan menjadi kekuatan tambahan buat pasukan.
“Saya tidak menafikan bahawa sukar untuk membina keserasian dengan pemain baharu dalam tempoh singkat, tetapi kami telah mengadakan perbincangan mendalam untuk memastikan mereka memahami falsafah permainan JDT.
“Kami juga perlu meningkatkan disiplin dalam bertahan dan menyerang kerana sebarang kesilapan akan dihukum oleh pasukan sekuat Mariners,” tambahnya.
Kredit Foto: JST