Kredit Gambar: Megan Briggs / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP

Pengadil terkenal England, Anthony Taylor mengumumkan persaraannya daripada arena pengadilan bola sepak profesional selepas lebih dua dekad mencurahkan khidmat di peringkat tertinggi.

Pengadil berusia 47 tahun itu menutup tirai kariernya dengan rekod 831 perlawanan, termasuk tugasan terakhir pada Piala Dunia 2026 yang menyaksikannya mengadili aksi pusingan 16 terbaik antara Portugal dan Sepanyol di Amerika Syarikat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Liga Perdana Inggeris, Taylor menyifatkan peluang mengendalikan perlawanan di pentas tertinggi sebagai satu penghormatan besar, namun mengakui tekanan yang datang bersama tanggungjawab itu bukan sesuatu yang mudah.

“Menjadi pengadil di peringkat tertinggi adalah satu penghormatan yang cukup besar, tetapi setiap keputusan sentiasa dinilai dan diperhatikan. Kini sudah tiba masanya untuk saya melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya,” katanya.

Sepanjang 16 musim mengadili saingan Liga Perdana Inggeris, Taylor mengendalikan 432 perlawanan, sekali gus muncul sebagai antara pengadil paling berpengalaman dalam sejarah liga berkenaan.

Beliau turut diberi kepercayaan mengendalikan beberapa perlawanan akhir berprestij di England, termasuk final Piala FA pada 2017 dan 2020, final Piala Liga pada 2015, Perisai Komuniti pada tahun sama serta final playoff Kejuaraan pada 2018.

Di pentas antarabangsa, Taylor menganggotai Senarai Pengadil FIFA selama 14 tahun dan mengendalikan pelbagai kejohanan utama termasuk dua edisi Piala Dunia (2022 dan 2026), Kejohanan Eropah UEFA pada 2020 dan 2024 serta Piala Dunia Kelab FIFA pada 2022 dan 2025.

Persaraan beliau menutup satu era dalam dunia pengadilan bola sepak, dengan Taylor dikenang sebagai antara pengadil paling berprofil tinggi dan berpengalaman yang pernah dilahirkan England.