PERSEKUTUAN Karate Malaysia (Makaf) dipilih sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dalam Majlis Anugerah Sukan, Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2022 pada Selasa lepas.

Pengiktirafan itu hadir ketika Makaf begitu gigih mencipta gelombang perubahan baru secara komprehensif, termasuklah daripada segi penganjuran kejohanan dan juga pendidikan kejurulatihan.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata anugerah itu membakar lagi semangat dan jiwanya untuk menaikkan level karate pada tahap tertinggi termasuklah memantapkan persatuan dari segenap segi.

“Syukur Alhamdulillah usaha kita selama ini berhasil dan menuaikan kejayaan. Ianya tidak akan hadir jika tanpa usaha keras, menggembleng tenaga dan peranan serta penglibatan para atlet dan persatuan Makaf sendiri.

“Langkah Makaf tidak berhenti di sini sahaja. Kita akan memajukan sukan ini ke peringkat seterusnya,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Khamis.

Nur Azmi turut berterima kasih dan tidak melupakan atas segala peranan yang digerakkan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam sehingga Makaf dikenali di peringkat antarabangsa.

“Saya berterima kasih kepada sokongan dizahirkan TYT Melaka, Tun Mohd Ali yang sememangnya mencurahkan jiwa dan raganya serta juga demi pembangunan Makaf. Beliau banyak membantu dari belakang dan sesungguhnya menjadi aspirasi buat saya meneruskan legasi ini ke arah kecemerlangan,” ujarnya lagi.

Kejayaan para atlet negara meraih pingat dalam setiap kejohanan, baik di dalam mahupun luar negara serta kredibiliti kepimpinan yang diterajui Nur Azmi secara langsung menunjukkan kesungguhan Makaf mempertingkatkan mutu sukan karate di negara ini.

Makaf turut memainkan peranan dalam memberi nafas baru serta nilai komersial kepada pertandingan silat dengan menganjurkan Kejohanan Karate Asia ke-19, yang melibatkan penyertaan pesilat profesional dari dalam dan luar negara.

Terkini, media tempatan membuat liputan secara meluas Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Karate Para Asia Ke-2 diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.

Pertandingan itu menyaksikan seramai 388 atlet dari 32 negara bersaing pada 21 Julai 2023 hingga 23 Julai yang lalu.