DUA pemain skuad kebangsaan, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Endrick Dos Santos telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas ujian yang dibuat mengesahkan kedua-dua itu mengalami kecederaan.

Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023.

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon berkata, pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemainnya dan telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

“Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu.

“Semoga cepat sembuh, Arif Aiman dan Endrick,” katanya menerusi Facebook FAM.

Pan-gon kini menyandarkan harapan kepada 25 pemain yang ada bagi perlawanan persahabatan Tier 1 bertemu Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.