RASA bimbang telah timbul di kalangan pemain skuad Bawah 23 (B-23) negara, terutama Sikh Izhan Nazrel yang tidak mahu masalah match fitness (kecergasan perlawanan) berlarutan dalam pasukannya.

Sebelum ini, isu kecergasan dalam pasukan kendalian Juan Torres Garrido turut menjadi perhatian utama oleh pengurusnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar yang enggan terjadinya kejadian ‘pisang berbuah dua kali’.

Hal ini kerana, musim Liga Malaysia yang belum bermula telah memberi sedikit impak kurang memberangsangkan buat pasukan senior kebangsaan, seperti yang kita lihat di Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada tempoh hari.

Juan Torres menggalas tanggungjawab berat dalam mempersiapkan skuad B-23 ke Qatar.

Sikh Izhan yang menyatakan kebimbangannya akan perkara tersebut bagaimanapun melihat dari sudut positif dan yakin bahawa barisan kejurulatihan B-23 dapat membantu dalam persediaan mereka ke kempen Piala Asia B-23 Qatar nanti.

“Kita dapat lihat pasukan senior mempunyai masalah kurang kecergasan pada aksi-aksi sebelum ini, saya rasa mereka letih kerana bermain di home dan away.

“Tetapi, saya menjangka bahawa persiapan kita di B-23 agak rapi dan intensiti latihan semakin meningkat. Tambah lagi, dengan adanya dua aksi persahabatan di Qatar adalah satu perkara bagus untuk mempersiapkan pasukan dalam saingan Piala Asia nanti.

Sikh Izhan ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya sebelum memulakan sesi latihannya bersama pasukan.

“Saya memang agak bimbang dengan perkara ini, tetapi saya yakin dengan barisan jurulatih dan para pemain yang akan coach bawa ke Qatar nanti,” ujar Sikh Izhan ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Terdahulu, Pengurus skuad B-23 telah menegaskan bahawa masalah match fitness perlu ditangani segera demi menjayakan misi mereka di Qatar nanti.

Beliau juga percaya dengan kepimpinan Juan Torres serta barisan jurulatihnya untuk merapikan persediaan pasukan menjelang aksi yang ditunggu-tunggu, Piala Asia B-23, Qatar yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan: ‘Match fitness’ skuad B-23 perlu diberi perhatian