PASUKAN Lion City Sailors mahu mencari tiga mata pertama dalam kejohanan Piala Shopee 2024-25 dengan menjadikan Kuala Lumpur City FC mangsa terbaharu apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam perlawanan ketiga Kumpulan B di Stadium Jalan Besar, Singapura pada Khamis.

Kelab Singapura itu ketika ini tidak berjaya mengutip sebarang mata dari dua perlawanan selepas tewas kepada Cong An Hanoi dan Borneo Samarinda dan mahu menjadikan perlawanan ketiga ini sebagai medan kebangkitan.

Pengendali pasukan, Aleksandar Rankovic sedar akan kekuatan KL City namun mahu para pemainnya memanfaatkan prestasi semasa mereka untuk mendapatkan mata penuh di hadapan penyokong sendiri.

“Kami kurang bernasib baik dalam dua perlawanan awal di tempat lawan tetapi kini kami kembali ke Singapura dan ini adalah peluang terbaik untuk mencari mata pertama dalam kejohanan ini.

“Selepas liga berehat, ini kali pertama kami bermain semula dan berhadapan pasukan yang baik seperti KL City yang sudah mengumpul enam mata dalam kejohanan ini pastinya bukanlah tugas yang mudah.

Namun kami sudah bersedia dengan semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan saya yakin kami mampu untuk berikan permainan terbaik buat para penyokong,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.

Sementara itu pemain antarabangsa Lion City Sailors, Rui Peres mengakui kejayaan pasukannya mencipta sejarah layak ke pusingan seterusnya di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) memberikan mereka motivasi tambahan dan mahu mengulangi pencapaian itu di Piala Shopee.

“Kejayaan kami layak ke pusingan 16 ACL2 sememangnya berikan keyakinan tambahan buat kami untuk berhadapan KL City dan berharap dapat memberikan tiga mata kerana kami juga sedar perlawanan ini melibatkan perseteruan besar antara Singapura dan Malaysia,” jelasnya.

Lion City Sailors terdesak mahukan tiga mata penuh dari perlawanan ini untuk menghidupkan peluang ke peringkat separuh akhir dan Rankovic mengharapkan sokongan padu daripada penyokong untuk berada di belakang pasukan.