REAL Madrid masih menunggu Casemiro membuat keputusan mengenai masa depannya di kelab itu selepas mendapat tawaran dari Manchester United awal minggu ini.

Ianya difahamkan bahawa prospek kontrak lima tahun bersama United bernilai £60 juta sangat menarik perhatian Casemiro meskipun bakal terlepas aksi dalam Liga Juara-Juara UEFA jika dia berpindah ke Old Trafford.

Casemiro yang bermain lebih 300 kali buat Real Madrid masih mempunyai kontrak sehingga 2025 namun kemungkinan kontrak lima tahun di England itu akan memberikan kariernya bertahan sehingga 2027 meskipun berkemungkinan tidak memenangi sebarang piala.

Pemain tengah bertahan ini bermain keseluruhan kariernya di Eropah bersama Real Madrid dengan hanya setahun di Porto apabila dia dipinjamkan selama semusim pada 2014-2015.

Dia yang sudah memenangi lima kejuaraan Eropah bersama Real Madrid masih memilih untuk berdiam diri dari membincangkan mengenai kemungkinan perpindahannya ke Liga Perdana Inggeris.

Sementara itu ada laporan mengatakan Real Madrid sudah mula menilai calon untuk menggantikan Casemiro sekiranya dia menandatangani kontrak bersama United dengan Bruno Guimaraes sebagai pilihan pertama.