Argentina’s forward #10 Lionel Messi looks on during a friendly football match between Argentina and Zambia at La Bombonera stadium in Buenos Aires on March 31, 2026. (Photo by JUAN MABROMATA / AFP)

Kapten Argentina, Lionel Messi akhirnya disahkan akan mengetuai skuad juara bertahan itu pada saingan Piala Dunia 2026 selepas namanya tersenarai dalam skuad 26 pemain yang diumumkan pengendali, Lionel Scaloni.

Pengumuman tersebut sekali gus menamatkan spekulasi mengenai penyertaan bintang berusia 38 tahun itu yang sebelum ini belum memberikan pengesahan sama ada akan beraksi dalam edisi kali ini.

Sekiranya diturunkan, Messi bakal mencipta sejarah tersendiri dengan membuat penampilan keenam di pentas Piala Dunia, satu rekod baharu yang mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara pemain terhebat dalam sejarah bola sepak dunia.

Kehadiran pemenang lapan kali Ballon d’Or itu dijangka menjadi sandaran utama Argentina dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi di Qatar empat tahun lalu.

Bagaimanapun, Scaloni membuat keputusan mengejut apabila tidak menyenaraikan bintang muda sensasi, Franco Mastantuono.

Pemain berusia 18 tahun yang kini bersama Real Madrid itu sebelum ini disebut-sebut sebagai antara prospek paling cerah dalam bola sepak Argentina, namun gagal menembusi senarai akhir ke Piala Dunia.

Argentina dijadual memulakan kempen Kumpulan G dengan menentang Algeria pada 16 Jun sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun dan Jordan lima hari kemudian.

Kebimbangan terhadap tahap kecergasan Messi turut menjadi perhatian selepas Inter Miami sebelum ini mengesahkan pemain itu mengalami keletihan pada otot hamstring kiri ketika aksi liga.

Pemain berpengalaman itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-73 ketika membantu Inter Miami mencatat kemenangan 6-4 ke atas Philadelphia, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kesediaannya menjelang kejohanan terbesar dunia itu.

Namun Scaloni memberi jaminan bahawa kecederaan tersebut tidak serius dan Messi dijangka bersedia sepenuhnya untuk mengetuai cabaran Argentina.

Sebagai persiapan terakhir, Argentina akan mengharungi dua aksi persahabatan menentang Honduras pada 6 Jun dan Iceland pada 9 Jun sebelum memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dunia.