SELEPAS tiga tahun yang penuh gemilang, detik perpisahan akhirnya tiba. Johor Darul Ta’zim (JDT) secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada Hector Bidoglio, arkitek di sebalik dominasi mutlak kelab di kancah domestik sejak 2022.
Pengumuman itu dibuat menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers malam tadi, sekali gus menamatkan spekulasi masa depan Bidoglio yang sebelum ini kembali mengemudi pasukan utama untuk musim 2024–2025 selepas memegang jawatan Pengarah Teknikal pada 2023.
“JDT mengucapkan terima kasih kepada Hector Bidoglio atas komitmen tidak berbelah bahagi dan khidmat yang diberikan sejak menjadi sebahagian daripada keluarga JDT,” ujar kenyataan kelab.
Bidoglio tiba sebagai ketua jurulatih pada 2022, membawa JDT menjuarai kesemua trofi utama, dua Liga Super, dua Piala FA, dua Piala Malaysia dan satu Piala Sumbangsih selain rekod luar biasa tanpa kalah dalam semua pertandingan domestik.
Gaya permainan tersusun dan pengurusan taktikalnya menjadikan Harimau Selatan pasukan yang bukan sahaja ditakuti di Malaysia, malah dihormati di peringkat Asia Tenggara.
Kini dengan pengumuman mengejut ini, tumpuan segera beralih kepada siapakah pengganti yang bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Bidoglio.
JDT memberi bayangan bahawa pengganti itu akan diumumkan dalam masa terdekat, selari dengan misi kelab untuk terus menambah koleksi piala dan mengekalkan reputasi sebagai kuasa bola sepak nombor satu negara.
Dengan jendela perpindahan juga semakin hampir, langkah seterusnya JDT bakal menjadi penentu kepada kesinambungan dominasi mereka dan seluruh Malaysia pastinya menanti apakah bab seterusnya dalam kisah dinasti Harimau Selatan.