PASUKAN Kuala Lumpur Rovers mempamerkan aksi membanggakan apabila berjaya mengelak kekalahan lebih besar meskipun tewas 1-2 kepada PDRM FC dalam aksi suku akhir pertama Challenge Cup di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Anak-anak buah Wan Mustafa Wan Ismail tidak gentar berhadapan skuad Sang Saka Biru yang dibarisi pemain import malah hampir mengecewakan lawan namun dinafikan ketumpulan penyudah.

PDRM FC pula harus menyalahkan diri sendiri apabila menyajikan aksi longlai terutama selepas mendahului 0-2 pada 25 minit pertama perlawanan dan perkara ini jelas tidak digemari oleh pengendalinya, Datuk Yunus Alif.

“Saya lihat selepas kita mendahului lawan 2-0 kita sudah mula mengambil mudah dalam perkara yang remeh dan perkara ini perlu dibuang kalau mahu terus fokus untuk mencari kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu pengendali KL Rovers jelas gembira dengan apa yang ditunjukkan para pemainnya dan ini adalah kesungguhan mereka dalam membuktikan mereka meskipun bermain di Liga MBSB Bank Championship juga mampu bersaing dengan pasukan Liga Super yang mempunyai lima pemain import.

“Pemain telah membuktikan mereka tidak menyerah kalah walaupun ketinggalan 2-0 dan mereka terus bermain dengan intensiti tinggi dan akhirnya berjaya menjaringkan satu gol untuk dibawa ke perlawanan timbal balik nanti,” jelasnya.

Dua gol masing-masing dari Bruno Suzuki dan Nabil Latpi seakan-akan memulakan pesta gol buat PDRM namun Ikmal Idris mempunyai idea yang berlainan dengan merapatkan kedudukan selepas mengambil kesempatan atas kesilapan pemain lawan.

Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat perlawanan dan kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada aksi kedua di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 4 Oktober dengan PDRM yakin dapat meneruskan saingan ke separuh akhir dan KL Rovers pula mahu melakar kejutan menewaskan skuad Liga Super.