MANTAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin menjelaskan tidak ada penyesalan dalam dirinya apabila tidak mempertahankan jawatannya sebaliknya melihat ianya sebagai langkah yang tepat dan berjiwa besar.

Hamidin  turut menyatakan sudah sampai masanya FAM diterajui muka-muka baharu yang boleh membawa perubahan seperti diinginkan oleh para penyokong dan juga rakyat Malaysia terhadap sukan nombor satu negara ini.

“Tidak ada rasa ralat kerana saya telah buat keputusan ini sudah lama. Jika saya ingin bertanding lagi saya boleh lakukan tetapi sudah sampai masanya untuk beri laluan kepada orang lain yang mempunyai idea baru untuk pembangunan bola sepak negara.

“Mungkin ada baik untuk presiden baharu ini jadi saya berjiwa besar untuk melepaskan jawatan ini meskipun mendapat desakan untuk mempertahankan kedudukan. Saya tahu apa yang saya buat dan sudah sampai masa beri peluang kepada orang baru,” katanya.

Hamidin yang ditemui selepas berakhir Kongres Tahunan FAM ke-61 2025 di Subang Jaya turut memaklumkan beliau bersedia dan bersikap terbuka sekiranya barisan kepimpinan FAM yang baharu mahu mendapatkan nasihat berkaitan kemajuan bola sepak.

“Saya sudah berjumpa dengan semua exco dan termasuk presiden bahawa bila-bila masa sahaja mereka boleh berjumpa dan mendapatkan nasihat daripada saya kerana saya masih berada dalam senario bola sepak terutama di Fifa, AFC dan AFF,” jelasnya.

Hamidin juga berbesar hati dengan apa yang dilakukannya ketika tempohnya sebagai Presiden FAM dan kini akan menumpukan perhatian kepada keluarga selepas lebih 40 tahun berkecimpung dalam arena bola sepak.

“Selepas ini saya akan kembali kepada keluarga saya selain tetap meneruskan tugasan saya sebagai exco Fifa dan tidak menjangkakan akan kembali dalam arena bola sepak negara,” katanya.

Antara kejayaan Hamidin sebagai Presiden FAM adalah membawa skuad Harimau Malaya ke kejohanan Piala Asia secara merit selepas 42 tahun di mana Malaysia berjaya mengikat pasukan Republik Korea 3-3 dan menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak negara.