KESATUAN Ragbi Malaysia mengumumkan Mohd Saizul Hafifi Md Noor sebagai Ketua Jurulatih baharu untuk mengetuai pasukan lelaki 15 sebelah kebangsaan.

Bekas Ketua jurulatih pasukan 7 sebelah kebangsaan yang mengemudi pasukan meraih pingat emas di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur itu kembali untuk kempen Asia Rugby Championship 2025.

Saizul Hafifi akan menggantikan Mohd Farid Syazwan Abu Bakar yang bersama dengan pasukan Bunga Raya untuk kempen Asia Rugby Championship 2023 dan 2024.

Malaysia menamatkan saingan pada tahun lalu ditangga keempat dengan pasukan Hong Kong muncul juara, United Arab Emirates di tangga kedua serta Korea Selatan di tempat ketiga.

Tugasan pertama Saizul Hafifi adalah untuk membentuk pasukan Bunga Raya yang bakal memulakan aksi 2025 dalam saingan playofff Asia Rugby Emirates Championship pada April nanti. Malaysia akan menentang pasukan Sri Lanka dengan pemenang perlawanan tersebut akan mendapatkan tempat untuk beraksi di Asia Rugby Championship 2025.

Bagi pasukan 7 sebelah kebangsaan, Kesatuan Ragbi Malaysia memutuskan untuk mengekalkan kedua – dua jurulatih pasukan lelaki dan wanita.

Nik Safuan Ismade Nik Man akan terus membimbing pasukan 7 sebelah lelaki manakala Mohammad Faiz Samsukhidir akan terus bersama pasukan wanita.

Kedua mereka berdepan tugasan mencari kilauan pingat di Sukan SEA yang bakal berlangsung di Thailand hujung tahun nanti serta mengejar keputusan lebih baik selepas kedua pasukan menamatkan saingan Asia Rugby Emirates Sevens Series di tangga keenam keseluruhan untuk kempen 2024.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Amir Amri Mohamad berharap dengan pelantikan ini akan membawa pasukan Bunga Raya ke tahap yang terbaik.