PEMAIN bola sepak wanita kebangsaan, Steffi Sidhu berharap  Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berminat untuk menubuhkan sebuah pasukan bola sepak wanita Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas sukses mempunyai pasukan futsal pada tahun ini.

Permintaan tersebut diluahkan apabila melihat betapa seriusnya pemilik kelab JDT ini dalam menjadikan pasukannya sebuah gergasi bola sepak Malaysia yang profesional dan digeruni.

Jelas Steffi, jenama JDT sangat sinonim dengan sebuah pasukan yang amat profesional dan kehadiran Harimau Selatan dan TMJ sendiri dalam bola sepak wanita dijangka dapat membantu meningkatkan tahap bola sepak wanita di negara ini.

“Kita tahu JDT adalah satu pasukan yang sangat profesional dan luar biasa. Mungkin TMJ boleh menubuhkan pasukan bola sepak wanita pula dan kita akan berpeluang untuk meningkat selangkah demi selangkah.

“Tahun ini kita lihat mereka sudah menubuhkan skuad futsal dan mungkin pada masa akan datang pasukan wanita pula dapat ditubuhkan oleh JDT,” katanya ketika menjawab soalan FLASH SUKAN.

Steffi juga memuji tindakan yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memperkasakan bola sepak wanita dan berharap usaha positif ini dapat diteruskan dan bola sepak wanita akan lebih maju dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

“Saya harap usaha FAM dalam meningkatkan lagi tahap bola sepak wanita dapat terus dikekalkan selepas ini dan kepada para peminat, jangan hanya mengkritik pasukan wanita kerana walaupun tidak sehebat pasukan lelaki tetapi kami ada di sini dan teruskan beri sokongan kepada kami,” tambahnya.

 

Steffi berjaya membantu pasukan MBSJ FC menjulang piala FAS Women’s Super League selepas menewaskan UPNM FC dalam aksi final menerusi penentuan penalti 3-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa perlawanan sebenar di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.