SELEPAS skuad lelaki membelasah Thailand dengan sembilan gol tanpa balas, Malaysian Tigress enggan mengalah, apabila menyeringai taringnya membaham Hong Kong 8-0 dalam saingan kumpulan A, Hoki Wanita Sukan Asia Hangzhou.
Dalam aksi di Stadium Gongshu Canal Sports Park, skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim dipaksa menunggu sehingga minit ke-10 untuk membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Fatin Shafika Mahd Sukri.

Pemain hoki wanita negara membuatkan penjaga gol Hong Kong sibuk sepanjang perlawanan.
Kapten, Nuraini Abdul Rashid menggandakan kedudukan selepas tenang menyudahkan pukulan penalti pada minit ke-20 sebelum Hanis Nadiah Onn melakukan jaringan pukulan sudut penalti seminit kemudian membolehkan Malaysia selesa mendahului 3-0.
Malaysian Tigress terus menekan Hong Kong, menambah dua gol pada suku ketiga, kali ini melalui jaringan Siti Zulaikha Husain pada minit ke-38 dan jaringan pukulan sudut penalti Fatin Shafika pada minit ke-40.

Kapten Malaysian Tigress, Nuraini Abdul Rashid yakin permainan skuad negara akan bertambah baik selepas ini.
Memasuki suku terakhir, pasukan negara menoktahkan perlawanan dengan bergaya apabila menambah tiga lagi gol yang dijaringkan Nur Insyirah Effarizal pada minit ke-56 diikuti Nur Afiqah Syahzani Azhar dan Wan Norfaiezah Md.saiuti masing-masing pada minit ke-60.
Menurut Nuraini, kejayaan itu amat diperlukan pasukan sebelum menempuh cabaran getir pada perlawanan berikutnya, menentang pemenang pingat perak edisi lepas, India.

Pemain Hong Kong, Jeong Yeonsik kelihatan berang melihat pemain negara meraikan jaringan.
“Kombinasi pemain muda dengan senior hari boleh dikatakan okey tetapi sebenarnya boleh buat lebih baik.
“Mungkin (pasukan) ada sedikit perasaan gugup dkerana 80 peratus dalam pasukan adalah pemain yang pertama kali ke Sukan Asia. Kami yang senior memberi peluang untuk mereka dapat keyakinan hari ini. Saya berharap untuk perlawanan akan datang kami akan lebih baik,” katanya.

Ceria… skuad wanita negara melaksanakan tugas meraih tiga mata dengan cemerlang.
Sementara itu, jurulatih kebangsaan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mendapati banyak kesilapan teknikal yang dilakukan para pemainnya.
“Hari ini banyak kesilapan teknikal seperti passing, stopping dan receiving ada kesalahan, jadi perlu diperbetulkan sebelum bertemu India… dari segi marking juga nampak agak biasa, bertemu India kita harus lebih berdisiplin dari semua sudut,” katanya.
Malaysia akan membuat perhitungan menentang India di venue sama, Jumaat ini.