KOMENTAR

Oleh MOHD FARIQ

“Malaysiaku cemerlang, namamu dijulang.”

Serpihan lirik lagu Malaysia Ku Cemerlang bagaikan menjadi muzik tema tepat untuk menggambarkan malam gemilang buat kontinjen Malaysia di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Bermula dengan kejayaan pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang meraih pingat gangsa dalam acara 100m, Shereen Samson Vallabouy  dalam acara 400m wanita dan skuasy lelaki yang turut meraih pingat gangsa melengkapkan lagi malam gemilang buat Malaysia.

Tumpuan lensa ditujukan kepada Azeem, 19, apabila menamatkan penantian selama 41 tahun buat negara meraih pingat di kejohanan Sukan Asia apabila kali terakhir Rabuan Pit yang menjadi sosok pemenang pingat emas pada tahun 1982.

Dengan catatan 10.11 saat sudah cukup meletakkan Azeem sebagai manusia ketiga terpantas di Asia.

Shereen Samson Vallabouy melengkapkan profil keluarganya, meraih pingat di Sukan Asia.

Shereen juga tidak kurang hebatnya apabila menamatkan penantian 45 tahun menjadi pemenang pingat buat kali pertama sejak pemenang pingat emas, Saik Oik Chum dengan catatan masa 52.58 saat.

Siang tadi skuasy wanita berpasukan berjaya meraih pingat emas dan gandingan Datuk Pandelela Rinong & Dhabitah Sabri bersama gandingan Syafiq Puteh & Ooi Tze Liang masing-masing meraih pingat gangsa dalam acara Synchronised 10m platform dan Synchronised 3m springboard.

May be an image of 2 people, people swimming and text that says "19thAsian Games Hangzhou MUNICH FLASH SUKAN KELME*"

 

Malaysia sekali lagi dilanda badai prestasi apabila giliran pasukan bola sepak wanita mencipta nama di pentas antarabangsa selepas muncul sebagai pemenang tempat ketiga Kejohanan Women’s International Friendly.

Steffi Sarge Kaur muncul menjadi wira apabila meledak gol tunggal perlawanan di babak akhir separuh masa pertama ketika menewaskan Arab Saudi di Stadium King Fadh Sports City malam ini.

Siri kejayaan-kejayaan ini menunjukkan bahawa Malaysia memiliki potensi besar untuk bersaing dengan nama-nama besar sukan khususnya di Asia.

May be an image of 8 people, people playing American football, people playing football and text

Penulis percaya dengan perancangan rapi usaha untuk kita memburu pingat emas Sukan Olimpik Paris tahun hadapan meletakkan kita di dalam landasan yang tepat.

Sukar tetapi tidak mustahil.

 

Namun suka diingatkan juga kepada barisan atlet negara agar tidak cepat mendabik dada di atas kejayaan-kejayaan malam ini.

Perjalanan mereka masih jauh dan peningkatan prestasi masih dituntut kerana hanya disiplin serta kerja keras meletakkan mereka dalam kelas dunia.

Cuma penulis yakin malam ini biarkan mereka meraikan kejayaan-kejayaan ini dengan tenang kerana mereka berhak selepas bekerja keras.

Cuma nasihat penulis, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.

Akhir kata, teruskan Jalur Gemilang berkibar di seluruh dunia.