JURULATIH para renang yang didakwa terbabit dalam kes gangguan seksual ataupun salah laku terhadap atlet telah direhatkan sementara siasatan polis sedang dijalankan.
Pihak Pegawai Perlindungan Majlis Sukan Negara (MSN) juga telah bertindak untuk memanggil atlet-atlet yang terlibat untuk segera melaksanakan tindakan dalam memberi perlindungan terhadap mereka.
Walau demikian, menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam sesi temu bual di Institut Sukan Negara (ISN), jurulatih yang didakwa itu masih dalam kategori ‘tertuduh’ dan masih tiada bukti yang kukuh sehingga pihak polis menghabiskan siasatan mereka.

Hannah Yeoh ketika ditemui selepas Seminar Antigangguan Seksual di Institut Sukan Negara.
“Berkenaan kes laporan media mengenai tuduhan bahawa terdapat gangguan seksual dalam kalangan atlet para renang, laporan polis telah dibuat oleh pengadu dan siasatan polis sedang berjalan.
“Saya meminta kerjasama pihak media untuk melindungi identiti semua yang terlibat kerana sehingga sekarang, kes masih dalam kategori tuduhan sahaja sehingga siasatan polis ini selesai,” ujar Hannah Yeoh selepas sesi Seminar Antigangguan Seksual Dalam Sukan pada Khamis.
Meskipun jurulatih tersebut telah direhatkan, namun, para atlet telah meminta supaya khidmat jurulatih tersebut tetap dilanjutkan kerana tidak ingin mengganggu konsentrasi dan persiapan diri ke Sukan Paralimpik yang akan berlangsung pada 28 Ogos nanti.

Terdapat dakwaan mengenai jurulatih yang membuat salah laku terhadap atlet para renang.
Oleh itu, pihak MSN masih sedang meneliti permintaan yang telah dilontarkan dari kalangan atlet sendiri memandangkan jurulatih tersebut sudah bersama dengan atlet sejak 2017.
“Paling penting setakat ini, kita mahu pastikan sebelum latihan bermula akan ada mekanisme yang selamat telah diwujudkan untuk menjamin keselamatan mereka.
“Kita pula tidak boleh mengganggu siasatan tersebut tetapi terdapat atlet telah meminta untuk jurulatih ini terus melatih mereka,” tambah Hannah Yeoh.
Pada Selasa lalu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa pihak MSN akan mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak terhadap jurulatih yang didapati bersalah, terlibat dalam salah laku terhadap program latihan sukan kebangsaan.
Artikel Berkaitan: MSN-PDRM siasat dakwaan jurulatih wanita cabul atlet para renang lelaki