EMPAT kali beraksi di Temasya Sukan Asia, edisi Hangzhou mahu dijadikan pengakhiran yang membanggakan buat Ivan Yuen.

Terlepas pingat emas dalam acara berpasukan lelaki, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mahu menebus kehampaan dalam satu lagi acara, iaitu beregu campuran.

Bagaimanapun, laluannya berliku, selepas dia yang bergandingan dengan Rachel Arnold, tewas pada perlawanan pertama di tangan kumpulan C, ditangan Yang Yeonsoo-Lee Dongjun, 11-4, 8-11, 10-11.

Ivan (biru) kekal positif, memburu tempat ke pusingan kalah mati.

“Saya dan rakan-rakan terlepas pingat emas setelah tewas di separuh akhir berpasukan lelaki, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

“Jadi saya harap, laluan ke separuh akhir beregu campuran kembali terbuka,” kata Ivan.

Memilih Temasya Jakarta-Palembang lima tahun lalu sebagai kejohanan multi-event paling dikenangkan, berikutan meraih pingat emas berpasukan lelaki ketika itu, Ivan sedar dia dan Rachel perlu segera bangkit, untuk memastikan tempat ke saingan kalah mati milik mereka.

“Memang kali ini saya harap dapat satu emas, tapi kami perlu tempuhi satu persatu.

“Selepas tamat saingan berpasukan, kami masih masih mencari rentak pada perlawanan menentang Korea Selatan, tapi saya yakin berdepan Thailand dan seterusnya, kami akan lebih baik,” tambah Ivan.

Pada perlawanan kedua hari ini, Ivan-Rachel berjaya mengatasi gandingan Thailand, Supakorn Ngamprasert-Nopchanok Buranakul, 11-4, 11-3 sekali gus meraih tiga mata berharga.

Esok, Ivan-Rachel akan menentang gandingan Nepal sebelum perlawanan terakhir kumpulan C menentang Hong Kong.