HASRAT melihat dua pingat perak di kolam terjun tidak tercapai selepas gandingan Betrand Rhodict Lises-Enrique Maccartney Harold, dipintas pada terjunan terakhir acara 10 meter (m) platform seirama lelaki.

Gandingan negara itu berada di belakang Yang Hao-Lian Junjie sehingga terjunan kelima, dipintas Yi Jaegyeong-Kim Yeongnam dari Korea Selatan, pada terjunan terakhir.

Kesilapan dilakukan Betrand Rhodict pada terjunan terakhir menyaksikan dia dan Enrique sekadar meraih 68.31 mata pada darjah kesukaran 3.3, berbanding gandingan Korea 75.60 mata.

Susulan kesilapan itu, Korea Selatan memintas selepas mengumpul 387.78 mata untuk pingat perak berbanding gandingan negara, 386.07 mata.

Penerjun China pula meraih 492.63 mata meraih pingat emas.

“Ketika melakukan terjunan keenam, saya melakukan kesilapan.

“Malah Korea Selatan menggunakan darjah kesukaran lebih tinggi (3.6) membolehkan mereka memperoleh mata yang banyak dan memintas kami,” kata Betrand Rhodict.

Mengakui tidak kecewa dengan pencapaian itu, Betrand Rhodict berkata, jumlah mata dikumpul pada final adalah rekod mata terbaik terjunan bersama Enrique, sejak digandingkan di Sukan Malaysia (Sukma) dan Kejohanan Dunia lalu.