JOHOR Darul Ta’zim (JDT) bersedia untuk berdepan taktik permainan bertahan yang akan dilakukan PDRM FC apabila kedua-dua pasukan sekali lagi bertemu kali ini dalam pertandingan Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu.
Pengendali JDT, Esteban Solari yakin Sang Saka Biru akan mengamalkan corak permainan negatif sama ketika perlawanan Piala FA pada Jumaat yang menyaksikan Harimau Selatan menang 3-0 sekali gus layak ke suku akhir dalam misi mempertahankan kejuaraan musim lalu.
Atas sebab itu Solari akan melakukan persiapan rapi bagi mengelak daripada terperangkap dengan helah lawan yang mahu mencalarkan imej cemerlang JDT yang sudah memenangi sembilan perlawanan berturut-turut dengan menjaringkan 39 gol.
“Ia mungkin berlaku seperti aksi Piala FA, tetapi kami akan bersedia untuk tampil lebih konsisten dan mengelak daripada terperangkap dengan helah permainan mereka kerana ini saingan liga dan kami mahu mengekalkan momentum kemenangan.
“Pada aksi Piala FA, kami menurunkan ramai pemain muda yang kurang minit permainan dan tidak timbul masalah untuk kami menurunkan pemain yang sama kerana di JDT kami mempunyai ‘squad depth‘ malah 27 pemain dalam pasukan ini mampu untuk bermain dalam kesebelasan utama.
“Jika ada peluang untuk pemain yang kurang minit permainan, sudah tentu saya akan menyenaraikan mereka beraksi dalam kesebelasan utama terutama pemain muda tetapi segalanya bergantung kepada pendekatan taktikal,” katanya.

Esteban Solari
Solari juga mahu langkah itu bakal mewujudkan persaingan positif di kalangan pemain tidak kira pemain utama atau simpanan kerana mereka akan bersaing antara satu sama lain dan ia akan memberi impak terhadap JDT bagi membentuk barisan pemain yang sentiasa bersedia diturunkan dalam aksi perlawanan sebenar.
PDRM FC bebas mengamalkan corak bertahan kerana sememangnya ia tidak boleh dielakkan kerana itu sebahagian daripada strategi permainan dan pastinya memberi cabaran buat JDT untuk memecahkan benteng pertahanan lawan.
“Dalam permainan bola sepak, taktik itu dibenarkan, jadi saya tidak boleh mengeluh sebaliknya harus fokus kepada pasukan saya supaya beraksi tanpa tekanan dan mempratikkan taktikal ampuh sambil mengekalkan konsistensi permainan kerana perlawanan ini penting bagi kami,” kata Solari.
Dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim tempoh hari, dua jaringan Bergson Da Silva dan satu penalti Leandro Velasquez sudah cukup memberikan kemenangan 3-0 buat JDT tetapi PDRM FC mendapat pujian ramai kerana berjaya menyekat Harimau Selatan dari berkenduri gol.