KELAB Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan status mereka sebagai kuasa besar bola sepak Asia Tenggara apabila mengatur lapan perlawanan pramusim bertaraf tinggi di Sepanyol, termasuk menentang kelab ternama seperti Cardiff City, Levante UD dan Valencia Mestalla.
Kem latihan pramusim Harimau Selatan itu dijadual berlangsung dari 2 hingga 24 Julai 2025 di Alicante, Sepanyol, sebagai persiapan rapi menjelang saingan Liga Malaysia, Liga Juara-Juara AFC Elite serta Piala Shopee musim 2025/26.
JDT akan membuka kempen persahabatan mereka pada 6 dan 7 Julai menentang dua kelab Sepanyol, Real Murcia Imperial dan Costa City sebelum menguji kekuatan sebenar menentang kelab Liga Kejuaraan England, Cardiff City pada 9 Julai aksi yang dijangka mencuri tumpuan.
Berselang tiga hari kemudian, skuad bimbingan Xisco Munoz bakal menentang Levante UD pasukan yang pernah bersaing di LaLiga, sebelum berdepan skuad simpanan elit Valencia CF, Valencia Mestalla, pada 14 Julai.
Menariknya, JDT turut mengatur pertemuan dengan dua kelab besar dari Qatar, Al Rayyan SC dan Al Arabi SC masing-masing pada 16 dan 19 Julai, sebelum menutup siri perlawanan mereka menentang Riyadh FC dari Arab Saudi pada 21 Julai.
Jadual padat ini jelas menunjukkan JDT tidak mahu mengambil mudah dalam membina momentum awal, apatah lagi dengan cabaran besar menanti di pentas Asia musim hadapan. Dengan lawan yang berprofil tinggi, pramusim ini bukan sekadar latihan ia medan sebenar mengukur tahap keampuhan Harimau Selatan.
TAMAT