ATLET muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, atau lebih dikenali sebagai Jojo bertekad untuk bangkit selepas kekalahannya kepada jaguh Colombia, Johan Estupinan, dalam perlawanan di Impact Arena, Bangkok, Thailand, malam tadi.
Jojo,18, menyifatkan kekalahan itu sebagai satu cabaran baharu dalam perjalanan karier profesionalnya di peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, ini hanya halangan kecil dalam perjalanan saya. Saya akan bangkit semula. Terima kasih kepada semua atas sokongan yang diberikan,” katanya menerusi laman Instagram miliknya.
Pertarungan sengit antara kedua-dua jaguh itu menyaksikan aksi tumbukan dan tendangan bertenaga, yang menyebabkan kedua-duanya hampir terduduk beberapa kali.
Namun, keputusan sebulat suara selepas tiga pusingan menyaksikan Jojo tewas dalam kategori ‘flyweight’ ONE 170.
Kekalahan ini merupakan yang kedua buat Jojo dalam arena ONE Championship, selepas kecundang kepada jaguh Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat, pada Jun tahun lalu.
Sementara itu, Johan Estupinan meneruskan rekod cemerlangnya dengan kemenangan kelima tanpa kalah (5-0), termasuk tiga kemenangan melalui ‘knockout’ (KO).