SKUAD wushu negara meneruskan kecemerlangan pada hari ketiga acara Taolu di Kejohanan Wushu Dunia, di Texas, Amerika Syarikat (AS), apabila menambah dua perak dan dua gangsa.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat Wong Weng Son membawa pulang satu lagi pingat emas, tidak kesampaian apabila dia yang beraksi dalam acara qiangshu lelaki, sekadar meraih perak, apabila tewas kepada atlet China, Zhang Qingchun dengan perbezaan 0.033 mata.

Wong Weng Son cemerlang menyaingi atlet wuhsu China.

Weng Son mencatat 9.800 mata mengatasi atlet Indonesia Muhammad Daffa Golden Boy yang meraih gangsa dengan catatan 9.760 mata.

Jurulatih wushu kebangsaan, Koo Chee Zhong berkata, perbezaan mata antara atlet agak rapat namun walaupun sedikit, ia amat penting dalam menentukan kedudukan.

“Atlet China sememangnya sukar digugat. Qingchun sendiri menggunakan darjah kesukaran jauh lebih tinggi daripada Weng Son namun Weng Son membuktikan teknik asas yang ada pada dirinya cukup setanding.

“Sistem pembangunan atlet wushu China, jauh berbeza dengan kita,” kata Chee Zhong, ketika dihubungi.

Clement Ting (kanan) sudah meraih satu perak dan dua gangsa di Kejohanan Wushu Dunia 2023.

Sementara itu, Clement Ting meraih pingat ketiga di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Fort Worth itu, apabila menyumbang gangsa dalam acara gunshu lelaki.

Dia yang meraih 9.803 mata, tewas kepada pemenang emas, Jowen Lim (Singapura) dan perak, Seraf Naro Siregar (Indonesia) yang masing-masing berkongsi 9.823 mata.

Loh Ying Ting (kiri) cemerlang, dua hari berturut-turut sumbang pingat perak.

Sementara itu, Loh Ying Ting meraih pingat perak kedua di kejohanan ini, apabila menamatkan acara daoshu wanita dengan 9.783 mata, tewas kepada atlet China, Liu Xin yang meraih 9.830 mata untuk memenangi emas.

Gangsa dimenangi atlet Vietnam, Hoang Yhi Phurong Giang dengan 9.763 mata.

Semalam, ying Ting meraih perak acara changquan wanita.

Satu lagi pingat gangsa negara dimenangi Calvin Lee dalam acara nanquan lelaki selepas mengumpul 9.776 mata, tewas kepada atlet Hong Kong, Lau Chiu Lung dan Macau, Huang Junhua yang berkongsi 9.800 mata.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt bergambar bersama Calvin Lee, berbangga dengan prestasi atlet wushu negara di Texas, AS.

Namun Chi Lung dinobatkan sebagai pemenang pingat emas acara terbabit.

Justeru, ketika ini skuad wushu negara mengumpul jumlah pingat paling banyak, iaitu 10 pingat membabitkan 1 emas, lima perak dan empat gangsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Skuad wushu cemerlang di Kejohanan Dunia Texas

Begitupun, ketika ini skuad negara berada di kedudukan kelima di belakang Vietnam (2 emas, 1 perak, 1 gangsa), Macau (2,2,1), Singapura (2,2,2) dan China (7,0,0).