PEMAIN berpengalaman bola sepak negara, Indra Putra Mahayuddin yakin pasukan Malaysia bersedia menghadapi perlawanan pertama mereka dalam Kejohanan Bola Sepak Asia 7s 2024 pada khamis.
Menurut Indra, walaupun persiapan pasukan berjalan lancar, perlawanan 7 sebelah merupakan sesuatu yang baharu bagi mereka.
“Dari segi persiapan pasukan, saya rasa tiada masalah cuma ini merupakan perlawanan baharu bagi kami, mungkin agak sukar walaupun kami baharu berlatih dalam masa seminggu,” katanya.
Sebelum ini, kebanyakan pemain sudah biasa dengan format 11 sebelah, namun kali ini mereka perlu menyesuaikan diri dengan peraturan 7 sebelah.
“Saya rasa sebelum ini kami dah bermain dengan 11 sebelah dan kali ini 7 sebelah, ini merupakan perkara baharu tapi tidak jauh beza dengan kerja yang perlu dibuat dan Insyaallah, kami akan bagi yang terbaik,” ujarnya ketika sidang media Kejohanan Bola Sepak Asia 7s di Elmina Sale Gallery pada Rabu.
Indra turut menekankan perbezaan ketara dari segi kelajuan permainan 7 sebelah, yang memerlukan setiap pemain untuk kekal fokus sepanjang perlawanan berlangsung.
“Memang berbeza dari segi kelajuan, setiap pemain perlu fokus tiada masa untuk berehat kerana sentiasa bergerak dan dengan umur yang sekarang, InsyaAllah saya cuba bersaing.
“Pemain-pemain perlu bagi komitmen yang tinggi sebab kita tiada masa untuk berfikir dan sentiasa bergerak kerana bila-bila masa saja boleh bertukar pemain. Itu yang saya rasa pemain perlu bersedia.”
Pasukan Malaysia akan membuka kempen kejohanan dengan menentang naib juara India, satu perlawanan yang dianggap mencabar untuk pasukan negara.
“Kita akan bermain dengan pasukan India yang merupakan naib juara, mereka ada liga di sana, mungkin saya rasa agak mudah bagi mereka tapi bagi kami ini adalah benda baru dan kami sepasukan akan beri yang terbaik.
“Dari segi sasaran, kita fokus game by game. Kalau berfikir terlalu jauh mungkin tidak sampai, tapi bila fikir satu per satu Insyaallah kita ada hala tuju kita,” ujarnya.
Pasukan Malaysia dijadualkan menentang India pada Khamis jam enam petang, dan akan meneruskan aksi kedua mereka menentang Filipina pada hari yang sama, jam 10 malam.