PENGURUS pasukan bawah 23 tahun kebangsaan, Datuk Seri Shahril Mokhtar gembira dan berterima kasih kepada semua pemain yang menunjukkan komitmen apabila berjaya mencatat kemenangan kedua dalam kempen Kelayakan Piala Asia AFC B-23 2024 di Chonburi, Thailand.
Malaysia berjaya mencatat kemenangan 4-0 ke atas Filipina hasil dua jaringan T. Saravanan manakala masing-masing satu dari Mukhairi Ajmal dan Harith Haiqal untuk tiga mata penuh dan membuka laluan lebih cerah untuk layak secara merit ke Doha.
Namun begitu, Shahril mahu para pemain terus fokus kepada aksi seterusnya menentang tuan rumah, Thailand kerana hanya kemenangan bakal menjamin tiket automatik ke kejohanan itu dan tidak perlu menempuh laluan yang sukar.

“Pertama sekali syukur dan saya ucapkan tahniah kepada semua pemain yang telah berusaha keras pada malam ini dengan jaringan 4-0.
“Selepas ini kita akan bertemu Thailand, sebuah pasukan yang cukup bersedia tetapi saya yakin pemain semua dalam keadaan yang baik dan dengan semangat juang yang tinggi dan kami akan berikan saingan yang hebat kepada Thailand pada Selasa,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Sementara itu hero Malaysia dengan dua gol, T. Saravanan juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan sepasukannya dan akan memberikan aksi terbaik apabila menentang Thailand nanti.

“Ini adalah keputusan yang sangat baik. Pertama sekali tahniah kepada semua atas kemenangan 4-0 ini dan kami akan lakukan lebih baik dalam perlawanan menentang Thailand.
“Ini kerana kami mahukan kemenangan dan memungut tiga mata penuh untuk ke peringkat seterusnya dan saya ucapkan terima kasih kepada para penyokong kerana sentiasa menyokong kami pemain Malaysia,” katanya.
Malaysia bakal bertemu Thailand untuk menentukan siapa bakal menjadi juara kumpulan dan barisan E. Elavarasan sudah tentu mahu membuktikan kemampuan mereka dengan mengejutkan pasukan tuan rumah pada Selasa.