Kredit Foto: KDN FC, Sabah FC
KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee nyata gembira dengan kemenangan 4-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) sekaligus kemenangan keempat berturut-turut skuad Badak dalam saingan Liga Super 2024-2025 dan semakin kukuh di tangga ketiga.
Beliau memuji sikap dan konsisten pemain selain mahu melihat perkara ini dapat dikekalkan selepas cuti rehat antarabangsa dan pemain-pemain yang tercedera boleh kembali dalam pasukan untuk baki pusingan kedua liga.
“Empat kemenangan berturut-turut ini adalah satu perkara yang jarang kita perolehi tetapi ini adalah usaha pemain sejak dari perlawanan pertama bertemu Perak, Penang, Kedah dan kini Kelantan.
“Pemain buktikan mereka bukan sahaja menunjukkan sikap positif tetapi juga konsisten seperti yang sering saya tekankan tetapi kita tidak boleh leka jika ingin berada di landasan yang lebih baik dan perlu terus perbaiki kelemahan.
“Semua pemain akan diberikan rehat untuk memastikan mereka pulih dari keletihan dan berharap pemain yang cedera dapat kembali sepenuhnya kerana kita tahu selepas ini jadual Piala Malaysia dan Liga Super akan berlangsung serentak,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam sidang media yang sama, penolong jurulatih KDN, Rezal Zambery Yahya jelas kecewa dengan satu lagi kekalahan tetapi dia positif kerana sudah dapat mengenalpasti kelemahan yang ada pada pasukan dan akan gunakan tempoh rehat ini untuk memperbaiki pasukan.
“Satu keputusan yang sangat-sangat mengecewakan kerana jika dilihat Sabah begitu mudah menjaringkan gol di mana kita sering tewas pada hantaran bola tinggi yang mana Sabah mempunyai kelebihan dengan fizikal pemain yang lebih tinggi berbanding kami.
“Pada separuh masa kedua kita cuba rapatkan jumlah jaringan dengan lebih bermain secara menyerang tetapi kita mudah hilang bola dan kami perlu perbaiki benteng pertahanan kerana jika dilihat dalam semua permainan KDN mampu jaringkan gol tetapi mudah dibolosi.
“Kami akan gunakan waktu rehat ini untuk memperbaiki benteng pertahanan dan menilai semula prestasi pemain di mana kami mungkin memberikan peluang kepada pemain lain untuk beraksi,” jelasnya.
Dua gol daripada Joao Pedro dan masing-masing satu dari Farhan Roslan serta Gabriel Peres cukup untuk memberikan tiga mata penuh yang menggembirakan hampir 5,000 penyokong di Stadium Likas.