PENYERANG import Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah berhasrat untuk kekal bersama pasukan itu dan merebut tempat dalam kesebelasan utama musim ini.
Malah kehadiran penyerang Thailand, Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut (Croatia) tidak menggugat semangat pemain berasal Ghana itu untuk membuktikan sentuhan pemusnah.
Menurut Mintah, persaingan adalah asam garam dalam bola sepak dan dia sedia menyahut cabaran meskipun hanya beraksi separuh musim untuk TFC tahun lalu.
“Banyak perubahan musim ini dengan pemain serta pengendali baharu, dan saya gembira kembali ke TFC selepas menyarung jersi KL City FC pada pertengahan 2022.
“Tanya mana-mana pemain dan mereka akan menjawab persaingan adalah lumrah. Saya juga akan memberikan 100 peratus ketika latihan pra-musim ketika ini.
“Ada beberapa kelab berminat namun saya harap diberi peluang membuktikan kemampuan bersama TFC tahun ini,” jelasnya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Masa depan penjaring terbanyak Liga Premier 2021 itu tampak samar selepas Kraisorn dan Mamut menjadi pilihan TFC mengetuai jentera serangan mereka musim ini.
Namun Mintah menyifatkan peluang masih terbuka untuknya memenangi hati pengendali, Tomislav Steinbruckner sekaligus berada dalam perancangan jurulatih kelahiran Croatia itu.