QATAR menjadi pasukan tuan rumah kedua dalam sejarah Piala Dunia gagal layak ke pusingan seterusnya selepas mengalami satu lagi kekalahan dalam aksi Kumpulan A, Piala Dunia Qatar 2022.

Dalam perlawanan kedua Kumpulan A di Stadium Al-Thumama itu, pertemuan antara juara Asia dan juara Afrika, Senegal menyaksikan skuad The Maroons tewas 1-3 sekaligus tersingkir dari kejohanan terbesar dunia ini.

Pada perlawanan pembukaan sebelum ini, Qatar tewas kepada Ecuador dengan keputusan 0-2 dengan aksi yang sangat gemuruh hingga mendapat kecaman para pemerhati bola sepak dunia.

Gol pertama Qatar dalam Piala Dunia

Tiga jaringan oleh Boulaye Dia, Famara Diedhiou dan Bamba Dieng sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat Senegal dan kini perlawanan terakhir menentang Ecuador akan menjadi perlawanan penentuan.

Senegal mengambil kesempatan kesilapan benteng pertahanan Qatar untuk mendahului 1-0 pada penghujung babak kedua sebelum menambah dua lagi jaringan pada babak kedua untuk menghantar Qatar pulang lebih awal.

Pemain gantian Mohammed Muntari berjaya menjaringkan gol pertama Qatar dalam Piala Dunia untuk merapatkan jurang 2-1 ketika permainan berbaki 12 minit namum Senegal berjaya menjaringkan gol ketika pada minit ke-83 untuk menamatkan sisa perjuangan skuad The Maroons.

Meskipun menampilkan aksi yang lebih baik berbanding pada perlawanan pertama, namun Qatar masih tidak mampu menyaingi kehebatan Senegal yang menunjukkan mereka lebih berpengalaman dalam pentas Piala Dunia.

Sebagai rekod, pada edisi 2010 Afrika Selatan menjadi pasukan tuan rumah pertama tersingkir awal di peringkat saingan kumpulan Piala Dunia.