PERLUMBAAN berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan membuka tirai September nanti mempunyai sedikit perubahan dari segi laluan perlumbaan peringkat keempat.

Perkara ini telah dinyatakan menerusi kenyataan rasmi Majlis Sukan Negara (MSN), bahawa pertukaran itu melibatkan laluan yang asalnya dari Kuala Kubu Bharu ke Genting ditukar kepada laluan baharu iaitu Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 148.9 kilometer (km).

Keputusan pertukaran telah dibuat selepas melihat dan menganalisa pelbagai faktor terutama isu keselamatan, kerana terdapat kerja-kerja penambahbaikan jalan dan cerun di sepanjang laluan Genting Highlands sepanjang tarikh perlumbaan.

Jelasnya, pemilihan lokasi Kuala Kubu Bharu dan Bentong bertujuan untuk mengekalkan persiapan yang sedang dirangka oleh kedua-dua hos pelepasan dan penamat berkenaan berdasarkan pengumuman laluan yang diumumkan menerusi Majlis Pelancaran LTdL 2024 pada 18 Mac 2024 lalu.

Terdapat perubahan laluan dalam perlumbaan LTdL 2024.

“Seperti diumumkan sebelum ini, penganjur tetap cuba mengekalkan konsep ‘back-to back mountain climbs’ untuk Peringkat ketiga dan keempat bagi Petronas LTdL 2024.

“Peringkat keempat kali ini bakal menyaksikan pelumba perlu memulakan pendakian pada jarak KM 20 hingga ke KM 40 di Jalan Gap-Bukit Fraser sebelum pendakian ke puncak Bukit Fraser pada ketinggian 1,250m.

“Peringkat ini bakal menjelmakan cabaran tambahan buat pelumba kerana perlukan percaturan taktikal dan teknikal yang tepat kerana bukan sahaja menuntut kayuhan pendakian hebat, tetapi juga kepakaran menuruni bukit bagi mengumpul jurang masa maksimum (maximum time gap) untuk mengharungi baki 70 km laluan landai ke Bentong,” menurut kenyataan MSN.

LTdL edisi ke-28 ini dijadualkan bermula pada 29 September sehingga 6 Oktober 2024 dengan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan.

Selain itu, terdapat dua peringkat perlumbaan buat pertama kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,227.2 km.